Nasional

Tingkat jumlah tenaga kerja bidang perubatan – Raja Muda Perlis

Jumlah tenaga kerja dalam bidang perubatan, yakni para doktor dan pakar-pakar perubatan, perlu ditingkatkan bagi menangani pandemik COVID-19 dalam negara, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan menyedarkan kita supaya menyediakan jumlah doktor yang banyak bagi memenuhi keperluan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu sesi webinar bertajuk Forward Malaysia: Charting New Paths to the Next Normal, anjuran Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa penekanan terhadap kepentingan persediaan hari ini adalah penting dalam menangani masalah akan datang.

Sementara itu baginda bertitah Perubatan Am atau Perubatan Dalaman Maju dan Akut (AAIM) di Malaysia, dan lain-lain negara seperti United Kingdom dan Australia banyak terdedah dalam aspek berkenaan sejak beberapa tahun lepas.

“Kita ada kelebihan, kita boleh pelajari daripada pengalaman sistem penjagaan kesihatan di negara-negara ini, Walaupun mereka mungkin memiliki jumlah populasi yang berbeza, namun dalam banyak aspek dapat kita lihat ada persamaan antara negara kita dan mereka,” titah baginda.

 

Baginda bertitah selaras dengan perubahan landskap COVID-10 hari ini, Malaysian Advanced Acute Internal Medicine and Ultra Sound Society atau MAAIMUSS buat pertama kali memperkenalkan satu kursus baharu ‘ultrasound dan echocardiography’ yang unik secara dalam talian.

Menurut baginda, ia menggabungkan pengajaran secara dalam talian dalam bentuk webinar interaktif (seminar dalam talian) dan latihan secara langsung oleh penyelia tempatan yang terlatih.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button