Politik

Tindakan MCA, UMNO bantu guaman kompaun RM10,000 satu kegilaan

AHLI Parlimen DAP Hannah Yeoh menganggap MCA dan UMNO gila menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Hannah yang merupakan Ahli Parlimen Segambut berkata, kedua-dua parti itu berada di dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang telah menguatkuasakan peraturan tersebut.

Menurutnya, tindakan MCA dan UMNO itu diibaratkan sebagai satu tangan menyusahkan rakyat dan satu tangan lagi pula mahu membantu rakyat.

“Apakah kegilaan ini? MCA dan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional laksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000 dan sekarang nak bagi bantuan guaman?

“Tangan kanan susahkan rakyat, tangan kiri nak bantu rakyat? Apa guna umum pelbagai bantuan kebajikan – MyBeras di KL dan bagi beras sini sana serta top up bantuan kebajikan JKM kepada RM1000 tapi denda 10 kali ganda?” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, Kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai pengalaman mentadbir dengan baik.

Beliau mendakwa polisi yang dikeluarkan seringkali mengelirukan masyarakat.

“Umum dulu, kompaun dulu kemudian baru nak perincikan kesalahan. Mengelirukan pegawai penguatkuasa seperti polis dengan SOP mereka kemudian menambah pula beban pegawai kesihatan daerah untuk meneliti rayuan kompaun RM10,000.

“Semoga rakyat membuka mata melihat ketidakcekapan dan kezaliman PN yang terdiri daripada parti PAS, Bersatu, MCA, UMNO, MIC,” kata Hannah.

Semalam Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.

Barisan peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan adalah Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia,Nik Saiful Adli Burhan; Faridzul Azlan Abd Shani dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

“Pemuda UMNO tetap berpendirian agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban,” kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Pemuda MCA turut menawarkan khidmat yang sama. Ketuanya, Nicole Wong berharap kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan secepat mungkin.

“Biro Guaman Pemuda MCA menawarkan bantuan guaman kepada sesiapa yang disaman RM10,000 walaupun telah mematuhi SOP.

Kerajaan mesti keluarkan garis panduan secepat mungkin untuk pihak penguatkuasa supaya SOP tidak dikuatkuasakan mengikut interpretasi sendiri,” katanya.

DAP, Amanah dan PKR turut menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mereka yang dikenakan kompaun RM100,000.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button