Tikus makan ayam goreng, lesen kedai mamak dibatalkan
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pematuhan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta-merta ke atas kedai makan Mamak yang terdapat seekor tikus sedang mengunyah ayam goreng yang disimpan dalam pemanas makanan.
Pengerusi MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata tindakan rampasan terhadap kedai itu juga akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan sekiranya restoran itu terus menjalankan perniagaannya tanpa lesen walaupun NPPL telah dikeluarkan.
Justeru, katanya MPAJ hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu sekiranya semua syarat khususnya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.
“NPPL berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan di premis makanan selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang mengeluarkan Notis Perintah Penutupan pada 24 Dis di kedai makan itu.
“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi tempat penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga kerap dilakukan oleh MPAJ.
“MPAJ memandang serius isu ini dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana kedai makanan yang mengambil mudah aspek kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod pemeriksaan lepas, Fauzi berkata beliau mendapati penarafan kebersihan premis terbabit ialah Gred B bagi Jun 2021, dengan semakan terakhir dijalankan pada Januari.
Bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa terjamin, katanya MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan PBT sentiasa dipatuhi.