TikTok komited tangani isu buli siber dan Scam sedia kerjasama dengan kerajaan Malaysia
Platform media sosial TikTok memberi jaminan untuk menangani isu buli siber dan ancaman scam di Malaysia, selain bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM). Usaha ini adalah langkah proaktif untuk memerangi pelbagai cabaran keselamatan digital yang semakin meruncing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini dibincangkan semasa pertemuannya dengan delegasi TikTok yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew, di Putrajaya hari ini.
“Saya telah membangkitkan beberapa isu penting, antaranya pelaksanaan kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan platform pesanan Internet yang dijangka mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan,” ujar Anwar.
Beliau turut menekankan kebimbangan terhadap isu-isu seperti buli siber, ancaman penipuan (scam), dan budaya fitnah yang semakin berleluasa di negara ini melalui platform TikTok.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, sedia kerjasama antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Mereka memberi perakuan untuk melanjutkan pelaburan secara besar-besaran di Malaysia,” katanya.
TikTok juga menegaskan komitmennya untuk menyokong usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menandakan satu lagi usaha strategik dalam hubungan kerjasama antara platform media sosial dan pihak berkuasa tempatan.