Nasionalpilihan

Tiga lelaki didenda RM39,000 jual Android Box tanpa kelulusan SKMM

Seorang majikan kiosk peranti dan perkakasan bersama dua pekerjanya didenda keseluruhan RM39,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menjual dan bersubahat menjual perkakasan serta perisian TV dikenali sebagai ‘Top Box’ (Android Box).

Kesalahan buat tiga tertuduh Ong Tuck Keong, 30, Lee Hock Chuan, 21, dan How Jun Tian, 20, apabila menjual top box yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dua tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman tersebut selepas ketiga-tiga tertuduh mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Lee dan How masing-masing didakwa menjual tiga unit Top Box jenama SVICLOUD 3 Pro dan K&R MAC ADD serta seunit Top Box jenama SVICLOUD 3 Pro di kiosk K&R Technology Enterprise bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3) Akta Hak Cipta (AHC) 1987.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 41(1)(ha) AHC 1987, memperuntukkan hukuman denda minimum RM4,000 atau maskimum RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengan kesalahan atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga juga didakwa menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 20 unit Android Box jenama K&R dan lapan unit Android Box jenama K&R T9 Set Top Box dan SVICLOUD Model 3 Pro.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16(1) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum berpandukan Peraturan 16(3) peraturan sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ong pula didakwa bersuhabat dengan Lee dan How dalam melakukan kesalahan seperti pertuduhan dihadapi mereka yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di kiosk berkenaan di sebuah pasar raya di Peringgit di sini pada 25 Oktober 2021, antara pukul 1.10 hingga 1.30 petang.

Mengikut fakta kes serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pengadu, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) di kiosk terbabit dan mendapati ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan seperti pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menjalankan pendakwaan; Lee diwakili peguam Vinson Tay manakala Ong dan How diwakili peguam Goh Han Koon dan Milavieri Virginia Chong Yeng Nee.

Ketiga-tiga tertuduh merayu dikenakan denda yang ringan melalui peguam masing-masing atas pelbagai alasan namun pendakwaan memohon hukuman setimpal.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM13,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar terhadap Lee, manakala Ong RM20,000 atau 10 bulan penjara dan How RM5,500 atau tiga bulan penjara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button