Politik

Tiada majoriti, PM ke-8 ditentukan di Dewan Rakyat pada 2 Mac

AHLI Parlimen seramai 222 orang akan mengundi bakal perdana menteri ke-8 pada 2 Mac ini di Dewan Rakyat.

Menurut Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti uantuk menjadi perdana menteri ke-8 pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama dua hari di Istana Negara.

“Yang di-Pertuan Agong seperti anda tahu telah bertemu dan bertanya dengan semua ahli Parlimen selama dua hari. Keputusannya ialah Baginda mendapati tidak ada mana-mana pihak mendapat sokongan majoriti.

“Kerana tidak ada majoriti Baginda bertitah forum terbaik (memilih Perdana Menteri) adalah di Parlimen. Jadi Dewan Rakyat akan dibuka pada 2 Mac ini bagi memilih siapa yang akan mendapat majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

“Bagaimanapun jika Dewan Rakyat juga gagal memperoleh majoriti maka kita perlu adakan pilihan raya,” kata Dr. Mahathir dalam sidang media sebentar tadi selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnin lalu.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara  disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button