MahkamahNasionalNegeri

Tiada keistimewaan, pengecualian dalam keadilan Islam, titah Agong

KEADILAN Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah, ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa termasuk kepada mereka yang tidak disenangi selain keadilan tanpa pilih kasih yang diamalkan telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah SAW.

“Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan,” titahnya semasa berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang hari ini.

Berpandukan prinsip yang sama, Sultan Abdullah bertitah, Mahkamah Syariah mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutamanya yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang telah ternoda dan akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa,” titah Baginda.

Baginda bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di “hari kemudian”.

Selain itu, Sultan Abdullah juga mengingatkan hakim syarie untuk memastikan kes yang dikendalikan mereka dapat dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dilaksanakan dengan segera, selain pegawai mahkamah serta peguam syarie turut sama membantu melancarkan prosiding mahkamah.

Pada majlis itu, Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan kompleks bernilai RM44.75 juta yang mula dibina pada 22 Jun 2015 dan siap pada 23 Sept 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Idris Ahmad, barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Hakim Syarie Pahang Abdul Rahman Md Yunos.

Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini.

“Saya juga ingin meminta hakim-hakim syarie untuk mendalami dan mengkaji hukuman berbentuk servis kemasyarakatan yang boleh diambil kira kerana ada kesalahan yang tidak begitu besar, harus difikirkan agar mereka boleh berbakti kepada masyarakat … yang boleh diselesaikan dengan budi bicara,” titahnya.

Menyentuh mengenai pembinaan komplek mahkamah itu, Sultan Abdullah berharap ia dapat memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat selain menyampaikan serta mengembangkan syiar Islam dan mempertingkatkan institusi mahkamah syariah negara ini. – FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button