Politik

PRU15: PAS hanya pantau 80 kerusi Parlimen

PAS hanya memantau 80 kerusi Parlimen yang berpotensi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan ia bukannya jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.

Ini kerana Perikatan Nasional (PN) belum membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi bagi PRU15, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, itu bukan jumlah kerusi yang PAS akan bertanding.

“Itu kerusi yang kita pantau, jumlah kerusi kita akan bincang di peringkat parti,” katanya selepas menghadiri Simposium Perubahan Iklim di Bangunan Parlimen.

Katanya lagi, setiap parti akan membuat pemantauan ke atas kerusi yang dirasakan boleh dimenangi mereka terlebih dahulu.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, parti itu menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15, sekali ganda berbanding 40 kerusi yang ditandinginya pada PRU14.

Beliau berkata, pihaknya sedang menganalisis kawasan yang mencapai indeks prestasi utama (KPI) untuk dimasukkan dalam senarai 80 kerusi Parlimen itu.

Tambah beliau, kawasan yang tidak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan kawasan lain yang mempunyai peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan lain untuk menghadapi PRU15 dengan sasaran PAS memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen. – SM

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button