
Tiada Kebakaran Enjin, AirAsia Jelaskan Insiden Penerbangan AK128
AirAsia menegaskan tiada kebakaran enjin berlaku pada penerbangan AK128 yang melakukan pendaratan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) tengah malam tadi, kira-kira dua jam selepas berlepas.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, AirAsia memaklumkan bahawa penerbangan AK128 dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China, pada Rabu terpaksa berpatah balik selepas satu daripada enjinnya mengalami masalah teknikal yang mencetuskan isyarat luar biasa.
“AirAsia mengesahkan bahawa tiada kebakaran enjin berlaku. Hasil pemeriksaan mendapati isyarat tersebut berpunca daripada kerosakan pada saluran udara (duct), yang menyebabkan pelepasan udara panas. Atas faktor keselamatan, pesawat itu perlu kembali ke pangkalan untuk pemeriksaan dan pembaikan. Ia dijangka kembali beroperasi pada 31 Mac,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang kejadian, juruterbang mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan dan memohon keutamaan pendaratan bagi memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal.
“Pesawat mendarat tanpa sebarang insiden di KLIA Terminal 2 pada jam 12.06 tengah malam. Kesemua 171 penumpang dan enam anak kapal turun dengan selamat sebelum dipindahkan ke penerbangan gantian yang berlepas pada jam 3.46 pagi. Pesawat gantian tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada 7.51 pagi, 27 Mac,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo, menafikan laporan media yang mendakwa berlaku kebakaran enjin pada pesawat tersebut.
“Kru penerbangan bertindak pantas dan mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan. Juruterbang dan anak kapal kami dilatih untuk mengendalikan situasi seperti ini, dan pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kejadian lain selepas prosedur berkaitan dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Malaysia Airports, pasukan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), serta pihak berkuasa keselamatan atas kerjasama dan respons pantas mereka.
“Kami juga berterima kasih kepada penumpang AK128 atas kesabaran dan pemahaman mereka. AirAsia sentiasa komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan kesejahteraan penumpang dan kru kami,” tambahnya.
Terdahulu, laporan media tempatan mendakwa penerbangan AK128 terpaksa berpatah balik ke KLIA2 selepas dipercayai mengalami kebakaran enjin, namun AirAsia menegaskan insiden tersebut berpunca daripada masalah teknikal tanpa sebarang kebakaran berlaku.