Nasional

Ti Lian Ker, Azam Baki angkat sumpah jawatan hari ini

Naib Presiden MCA Senator  Datuk Seri Ti Lian Ker hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir menyaksikan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada 11 pagi.

Turut mengangkat sumpah pada istiadat itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Kedua-dua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Ti, 58, lulusan undang-undang Universiti Malaya, dilantik sebagai senator pada 2018 dan penggalnya dijangka tamat tahun depan.

Beliau sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tiga penggal iaitu Adun Teruntum (2004-2008) dan Adun Indera Mahkota pada 1999-2004 dan 1995-1999.

Azam, 57, pula dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac lepas bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya, dan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 694.

Sebelum itu beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) selama empat tahun bermula 2016, selain pernah menyandang jawatan Pengarah Perisikan (2013) dan Pengarah Siasatan (2015).

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button