fbpx
Nasional

PKPB: Rancangan keluar kerajaan yang huru-hara

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu didakwa sebagai ‘jalan keluar’ yang huru-hara kerana ada kerajaan negeri yang tidak mematuhi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim KIt Siang berkata, ia juga bukti Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali tidak memahami Perlembagaan negara apabila memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan negeri.

Katanya, pelaksanaan PKPB itu ibarat tangan kanan tidak tahu apa yang sedang dilakukan tangan kiri.

“Amaran kerajaan persekutuan semalam, mengenai tindakan undang-undang yang mungkin diambil terhadap sembilan kerajaan negeri di atas keengganan mereka untuk mematuhi PKPB adalah bukti ketiadaan pendekatan melibatkan “kerajaan secara menyeluruh” dan merupakah satu contoh ‘rancangan keluar’ kerajaan yang huru-hara,

“Ugutan tindakan undang-undang semalam, daripada seorang Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Azmin Ali, hanyalah menambah buruk situasi sedia ada.


“Beliau sepatutnya mengadakan satu mesyuarat dengan para Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mencapai persetujuan mengenai langkah membuka semula ekonomi secara berfasa melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam kenyataan di blognya.

Tindak  Azmin itu kata Kit Siang, jelas menunjukkan Menteri Kanan itu tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau perlu memberikan perhatian kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Persekutuan-Negeri Parlimen, Hassan Abdul Karim, yang menyatakan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diberikan kuasa secara bersama dalam perkara berkaitan kesihatan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara berkaitan kesihatan awam dan kawalan penyakit termaktub di bawah Senarai Bersama. Ini bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini.

“Azmin, mahupun kerajaan persekutuan tidak boleh bergantung semata-mata kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memaksa kerajaan negeri untuk mematuhi keputusan kerajaan persekutuan bagi membuka semula ekonomi bermula 4 Mei,” katanya.

Enam negeri, Kedah, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, dan Sarawak telah mengambil keputusan untuk tidak mengikuti langkah kerajaan persekutuan, manakala tiga lagi negeri iaitu Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengehadkan jumlah peniagaan yang dibenarkan bagi menyambung semula operasi.

Kata Kit Siang, walaupun Azmin merujuk kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bertarikh 28 April yang dihadiri oleh para menteri besar dan ketua menteri, tidak ada sebarang persetujuan dicapai di dalam mesyuarat tersebut tentang langkah yang boleh diambil pelbagai sektor bagi membuka semula ekonomi dibawah PKPB secara berfasa.

Sepatutnya, kata beliau, satu lagi mesyuarat yang melibatkan para menteri besar dan ketua menteri perlu diadakan sebelum PKP dilonggarkan dan digantikan dengan PKPB pada 4 Mei.

“Perkara inilah yang sepatutnya dilakukan Azmin sekarang, bukannya mengeluarkan ugutan tindakan undang-undang yang bukan-bukan semalam.

“Perjuangan melawan wabak Covid-19 ini adalah satu perjuangan yang panjang — demi memastikan dalam satu ke dua tahun yang akan datang, negara tidak mengalami peningkatan kes wabak. Dalam pada masa yang sama, kita perlu memastikan ekonomi negara boleh dilonjakkan semula secepat mungkin.

“Pengendalian wabak secara kucar-kacir — seperti yang dapat dilihat dengan isu-isu seperti “penawar air suam untuk Covid-19”, “15 negeri”, “500 negara”, “Doraemon”, “Menteri Tik Tok”, mahupun pertuduhan diskriminasi dalam pengagihan bantuan makanan kepada golongan B40 di kawasan parlimen pembangkang — haruslah dihentikan serta-merta.

“Amatlah penting bagi kerajaan mempercepatkan langkah pendekatan “kerajaan secara menyeluruh” dan “masyarakat menyeluruh” dengan memastikan Parlimen dapat memainkan peranannya. Ini bertujuan untuk meneliti dan menyemak imbang tindakan kerajaan supaya negara kita berjaya di dalam peperangan melawan wabak Covid-19.

“Setakat ini, kerajaan hanya bertindak seakan-akan mereka sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk negara, sedangkan jelas sekali, era kerajaan yang arif pada semua hal ini telahpun berlalu,” katanya.

Selain itu kata beliau, lebih daripada 40,000 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen atas talian supaya Parlimen bersidang untuk sekurang-kurangnya dua minggu dan bukannya hanya sehari pada 18 Mei. Saya menyeru lebih ramai rakyat Malaysia menandatangani petisyen ini supaya Perdana Menteri menyedari kehendak rakyat.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button