Teater

Teater di sebalik topeng, mengupas isu kesihatan mental melalui realiti hidup

PELAKON dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud, yang mesra disapa Ogy, menegaskan bahawa teater terbitannya, Di Sebalik Topeng, tidak bertujuan untuk mengaibkan sesiapa. Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengusik isu-isu semasa yang hangat diperkatakan di media sosial.

Ogy menjelaskan bahawa dia tidak mengambil peduli jika ada netizen yang mensensasikan dialog atau jalan cerita teater tersebut, kerana karyanya mencerminkan realiti yang berlaku dalam masyarakat kini.

“Netizen kadang-kadang akan mengecam apa saja yang kami lakukan. Dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita. Saya kadang-kadang juga tertanya-tanya, cerita apa yang tidak ‘FYP’ (trending)?

“Apa yang dipersembahkan adalah cerita sebenar dan mencerminkan realiti sekarang. Saya tidak rasa sudah melakukan sesuatu yang salah, kerana kami tidak mengaibkan sesiapa. Saya juga memahami Akta Media Sosial,” katanya pada majlis pra-tonton teater Di Sebalik Topeng yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.

Ogy berharap mesej yang disampaikan melalui teater itu dapat membuka mata masyarakat tentang kesan negatif komen atau kritikan yang dilemparkan di media sosial.

Teater Sebalik Topeng Menampilkan pelakon baru dari latar belakang kerjaya

“Saya berharap teater ini dapat menyedarkan mereka tentang kesan komen yang ditinggalkan. Ia boleh menyebabkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.

“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. Setiap watak dalam teater ini melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” katanya.

Teater Di Sebalik Topeng akan dipentaskan mulai hari ini dan esok di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP. Ogy akan memegang watak sebagai isteri kepada seorang tokoh politik yang pernah berkuasa, yang menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan mental.

Melalui sesi terapi kumpulan, watak tersebut tidak bersendirian, sebaliknya ditemani beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan bebanan hidup.

Teater ini menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan adegan rahsia. Dalam masa yang sama, teater ini menekankan kepentingan mencari bantuan dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

“Masyarakat kita masih canggung dan kurang memahami kepentingan merawat masalah ini. Dalam dialog monolog pembuka, ada menyebut ‘aku sihat, aku tak sakit,’ yang menunjukkan dia sendiri tidak sedar bahawa dirinya perlu dirawat.

“Saya berharap teater ini dapat membantu masyarakat memahami pentingnya sistem sokongan bagi sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan mental dan emosi,” tambahnya.

Pengarah teater, Zainorhisyam Samudin, berharap pementasan ini dapat membuka mata masyarakat mengenai kepentingan sokongan emosi.

“Teater ini adalah sebuah eksperimen kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan kita. Dalam teater ini, kami persembahkan pelbagai latar kehidupan yang membawa kepada gangguan mental, termasuk sosok narsistik, penagih dadah, scammer, wanita yang dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia, dan mangsa penderaan.

“Semua ini berlaku di sekeliling kita, dan kami tekankan pada pengakhirannya tentang kepentingan sistem sokongan dari semua pihak,” katanya.

Selain Ogy, teater ini turut dilakonkan oleh Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Saiful Wazien,Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi, dan Ard Omar.

Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button