PolitikPRK

Tangisan kegembiraan di Tanjung Piai

SAYA ahli Gerakan sejak umur 18 tahun tapi diminta bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 atas tiket MCA, maka keahlian bertukar ke MCA. BN juga. Nafas lega sebab MCA tak keluar BN. Ada hikmah saya bertukar parti.

Sebenarnya apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan tampuk kepimpinan, saya membenci beliau. Maklumlah, fitnah pelbagai.

Pernah saya menulis artikel mengutuk Najib. Tapi apabila beliau melantik Datuk Seri Idris Jala, itu membuka mata saya. Kemudian, Wahid Omar dan seterusnya, Paul Low Seng Kuan.

Saya sentiasa kagum dengan kehebatan Idris Jala menerajui MAS, banyak mengikut seminar perusahawanan dan beliau sering memberi ceramah berkenaannya.

Muncullah peluang apabila saya dipanggil menjadi ahli Makmal Transformasi Pembangunan Belia. 6 minggu sepenuh masa di situ, tanpa dibayar, hanya makan minum diberi. Kerja pun diberhentikan, ditolak semata-mata nak melibatkan diri.

Saya sendiri merasai cara, metodologi dan kelebihan MAKMAL ini – metodologi yang sama dalam menyelamatkan MAS – cepat, tepat dan mengikut fokus.

Kegagalannya hanya akan berlaku dalam pelaksanaannya maka Najib mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan ETP pada masa itu dan Muhyiddin GTP, setiap minggu.

Kemudian satu per satu juga hasilnya dinikmati. Dari pengurangan subsidi beransur dan BR1M berserta GST, dari projek infrastruktur LRT MRT HSR ECRL yang bermatlamat dan berpandangan jauh, dari nombor-nombor sasaran KPI pada masa itu dicapai. Saya mula merasai Transformasi Nasional yang berlaku. Saya meneliti dengan berhati-hati.

Dan pandangan saya terhadap Najib mula berubah. Saya menghargai jasa beliau sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad juga tetapi kalau salah, teruskanlah proses penghakiman yang adil. Najib kini menghadapi pelbagai tuduhan dengan berani. Tun Dr Mahathir belum lagi walaupun RCI mahukan perbicaraan.

Pada masa hampir saya dipengaruhi oleh fitnah, saya ditawarkan untuk menjadi calon. Saya menolak tawaran kerana tidak dapat melihat diri saya dalam kancah rasuah dan berita buruk-buruk macam ini. Barulah maklumat disampaikan dan diperbetulkan. DS (kini Tan Sri) Dr. Chua Soi Lek kerap kali berkata “That’s not true…” dan mengemukakan hujah-hujah bernas malah menunjukkan bukti.

Kalaulah seorang ahli dalam BN sekian lama pun mudah dipengaruhi oleh fitnah, masakan orang ramai yang tidak mempunyai akses kepada maklumat begini? Jelaslah BN pada masa itu kalah dalam peperangan media sosial dan tidak berjaya menyampaikan maklumat kepada ahli-ahli dengan baik.

Sukar juga saya membuat anjakan paradigma. Saya terima sebagai satu cabaran dan khidmat negara. Dalam PRU13 pun sudah mula orang membenci BN, MCA dan Najib, kempen kami pun sukar.

Orang tak mahu bersalam dengan kita. Hanya senyuman manis menemaniku, hati terguris dan dalam minda banyak permainan. Sehingga seorang penulis di Sin Chew Tay Tian Yan memuji saya, sambil mengakhiri artikel dengan “walaupun anda tak suka parti dia, sekurang-kurangnya jabatlah tangannya”.

PRU14 saya tidak bertanding tetapi menghulurkan bantuan kepada calon Teluk Intan, Bercham, Ipoh Barat, Seputeh dan Kpg Tunku.

Pada penghujung kempen, saya pun mula putus asa. Di sosial media juga ramai turut unfriend bertalu-talu dimarahi, dihina dan dalam WhatsApp ahli keluarga pun sinis menyindir saya.

Pulang ke rumah, pakcik saya pun sinis menyindir bilangan “nyamuk” yang hadir dalam ceramah BN. sendirian tiada orang tahu. Penyokong-penyokong BN membuka group untuk menenangkan dan memujuk sesama diri. Perjuangan belum selesai.

Sejak PRU13 lagi saya sudah berkata, tukarlah kerajaan. Biar tukar sekali, barulah rakyat dapat melihat dan bandingkan.

Bahang terus menimbun, PRU14 berjaya ditukar kerajaan. BN kalah, saya meletak jawatan dalam semua NGO kerana apabila kalah PRU13, saya murung dua bulan. Ini kalah satu negara, saya mungkin mengambil masa mengembalikan semangat.

Peletakan jawatan saya semua ditolak dan sebab itulah saya terpaksa kembali segera demi menjalankan tugas.

Ramai daripada kami juga redha dan mungkin ada hikmahnya, kami memujuk sesama diri. Kami memerhati perkembangan landskap politik negara.

Pada PRK Tanjung Piai kali ini, saya lihat semangat BN amat berbeza. Hampir semua parti komponen keluar berduyun-duyun.

Semua sayap bertungkus lumus, paling terserlah sayap PEMUDA keempat-empat UMNO PAS MCA dan MIC.

Sambutan orang ramai sudah bertukar mesra. Ada yang menangis kerana kesal mengundi PH sambil berjanji mahu mengundi BN kali ini.

Kalau dulu pakai baju BN dimarah dan dihina, sekarang pakai baju BN silap-silap dapat makan free sebab peniaga enggan terima bayaran, malah memberi rangsangan agar berkerja keras.

Walaupun begitu, tinjauan dan dialog bersama beberapa pengundi setiap hari berkata nak undi PH sebab PH pegang duit, sebab nak bagi PH cukup sepenggal, sebab Mahathir lebih baik.

Kedua-dua belah cukup gah dengan bilangan kehadiran ceramah tetapi turut didapati penyokong itu “diimport”. Itulah sebabnya saya menjangka BN menang pun 1,000 majoriti atau kalah pun sedikit saja.

Tapi apabila dikira undi itu, setiap saluran di Tanjung Piai memberikan kejutan. 15,000 undi majoriti diumumkan. Sorakan, tangisan, tepukan, pelukan semua bercampur.

Letih dan penat bagai kehilangan. Tidur nyenyak bersulamkan senyuman manis. Grup WhatsApp yang menangis kemurungan dek kekalahan BN bertukar menjadi grup tangisan kegembiraan kemenangan Tanjung Piai.

Saya juga risau jika BN leka dan bongkak kerana itulah sebab BN kalah. Itulah juga sebab PH kalah di Tanjung Piai. Laju pula mesej tersebar agar digalas tanggungjawab dengan baik dan terus berjuang dengan rendah diri.

Saya tahu sebagai pemerhati, saya tak sepatutnya berpihak. Tetapi kali ini sukar sekali mahu menahan kegembiraan itu dan amat payah nak berlakon “muka poker” ni. Akhirnya saya pun membuka baju pemerhati dan menyorak bersama serta menyambut kemenangan di Command Centre BN.

PJ Utara tempat tangisankekalahan saya, satu negara juga tempat tangisan kekalahan BN. Tanjung Piai menjadi medan titisan air mata kemenangan.

Tasik tenang di tepi taman,
Hening pagi terasa aman,
Tanjung Piai medan permulaan,
Demi rakyat, BN perjuangkan.

Chew Hoong Ling
18/11/2019

*Artikel diambil dari Facebook Hoong Ling.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button