RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, supaya setiap pemain industri pelancongan di negeri ini bersaing secara sendiri bagi meningkatkan penanda aras masing-masing ke skala yang lebih tinggi sempena Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025
Baginda bertitah, ini adalah bagi memastikan tahap kualiti sektor pelancongan di Perlis semakin meningkat.
“Malah setiap destinasi yang ditawarkan diharap akan mampu mencapai taraf di luar negara yang sudahpun menjadi tumpuan utama para pelancong,” titah Baginda.
Demikian titah Baginda selepas berkenan mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan pertama bagi tahun 2024 di sekitar Beseri, Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Baginda diiringi oleh anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Program kayuhan sejauh 20 kilometer ini disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi serta swasta di negeri ini.
Baginda juga berkenan berangkat menyantuni tiga orang di rumah masing-masing iaitu Jamaluddin Jusoh, 65 dari Kampung Padang Malau, Fasariyah Khalid, 63 dari Kampung Batu 9 dan Rusni Ismail, 56 dari Kampung Guar Jentik.
Raja Muda turut berkenan meluangkan masa melawat Jeti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Perlis di Empangan Timah Tasoh yang digunakan bagi menurunkan bot untuk melaksanakan seliaan dan kerja-kerja penyelengaraan.
Baginda disambut oleh Timbalan Pengarah JPS Perlis, Ir Mohd Anuar Abdul Nasir yang mempersembahkan taklimat bahawa empangan ini merupakan sumber air utama untuk kegunaan domestik dengan kedalaman maksimum, 15 meter.
Empangan yang merupakan pertembungan antara Sungai Timah dan Sungai Tasoh ini menjadi daya tarikan pelancong yang telah disenaraikan dalam Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Dataran Timah Tasoh, Santuari Ikan Air Tawar dan Tasoh Lake Resort yang terdapat di sini sesuai dilawati pelancong.
Pihak JPS juga telah memohon peruntukan di bawah Kementerian Pelancongan bagi menaiktaraf beberapa kemudahan baharu pelancongan di kawasan sekitar empangan tersebut.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bot cruising, kayak, perahu layar HerMission House, memancing, “bird watching” dan aktiviti rekreasi yang melibatkan air. – SM
Artikle Berkaitan :>
Warga Malaysia di luar negara pulang bercuti dipelawa ke Perlis – Raja Muda
Kualiti semula jadi perlu kepada seorang pemimpin – Raja Muda Perlis