
Suspek kes tembakan di Setia Alam maut dalam operasi Polis di Pulau Ketam
SUSPEK kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam satu operasi di Pulau Ketam, Klang, awal pagi Selasa.Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam serbuan sekitar jam 3 pagi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor.
“Sewaktu serbuan di sebuah hotel di Pulau Ketam, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan suspek. Pasukan polis berjaya menembak mati lelaki berkenaan serta menemui dua senjata api berisi peluru bersamanya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah, termasuk satu kes berkaitan dadah serta tujuh kes jenayah samun. Dia juga dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian pada jam 10 malam, 8 Februari lalu, suspek dilaporkan telah melepaskan empat das tembakan ke arah seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah berkenaan ketika berada di Aras P1.
Mangsa yang mengalami kecederaan di punggung dan kaki sempat menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bangunan, sementara suspek melarikan diri ke Aras P2. Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan yang mengenai pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kenderaan.
Dia mengacukan pistol ke arah pemandu kenderaan berkenaan, yang juga seorang pengunjung pusat beli-belah itu, dan memaksanya membawanya keluar dari kompleks tersebut.
Suspek kemudiannya melepaskan mangsa dan melarikan diri setelah turun di tepi lebuh raya di Pandamaran, Klang.