Nasional
Suspek kes tembak di KLIA di tahan di Kelantan
SUSPEK kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diberkas oleh polis di Kota Bharu Kelantan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada beberapa agensi media.
Menurutnya, suspek, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu.
Difahamkan, suspek ditahan di Jalan Bayam, iaitu hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pukul 3 petang, Isnin.
Suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.
Katanya, dalam kejadian itu berlaku pergelutan sebelum polis memberkas lelaki itu.
Satu sidang media bersama dijangka akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan petang ini. – SM