Suspek kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat diberkas
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis telah memberkas suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lepas.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam ini bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu semalam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.
Pada 3 Feb, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.
— BERNAMA