Politik

Jangan sekadar memuji ketika kami berkuasa – Hannah

AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengingatkan bekas rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat agar tidak sekadar memuji tinggi melangit ketika mereka berkuasa.

Ahli Parlimen DAP itu terkilan dengan kenyataan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais, yang mendakwa beliau hanya sekali turun padang menemui rakyat.

“Janganlah sekadar memuji tinggi melangit ketika kami berkuasa dan menafikan semua kerja yang kami lakukan hanya selepas anda mengkhianati mandat rakyat.

“Jangan malukan diri sendiri dengan mendakwa saya tidak turun padang di kawasan saya. Walaupun platform media sosial saya memadai untuk menunjukkan sebahagian kerja saya, namun penduduk di Segambut lebih tahu menilai.

“Anda mungkin boleh berbohong dengan seluruh rakyat Malaysia, tapi anda tak mungkin boleh menipu penduduk di #Segambut. Biar gambar berbicara,” kata Hannah di media sosialnya yang turut berkongsi gambar aktiviti beliau turut ke padang menemui masyarakat bersama Mahathir.


Media sebelum ini melaporkan, Mahathir mendakwa Hannah tidak pernah dilihat turun padang bersama memberi bantuan dan mendengar rintihan penduduk sebaliknya dia mendakwa ahli Parlimen itu hanya turun sekali ketika mahu diundi.

Beliau berkata, sokongan terhadap DAP di Segambut semakin hari semakin merudum kerana rakyat sudah muak dan jelek dengan sandiwara politik yang dimainkan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

“Buat orang muda yang berminat untuk menyertai politik, berpegang kepada prinsip adalah sesuatu yang sangat penting.

“Apabila saya memilih menyertai politik dan menjadikannya sebagai medium untuk saya berkhidmat kepada rakyat – berpegang kepada prinsip merupakan perkara paling asas. Ia memberi gambaran siapa diri anda sebagai seorang ahli politik.

“Anda tidak boleh mengubah prinsip hanya kerana anda berada di pihak yang berbeza selepas Langkah Sheraton,” tegas Hannah.

Hannah berhadapan kritikan daripada pemimpin akar umbi Perikatan Nasional di Segambut selepas mendakwa Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen itu menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada kerajaan pusat.

Mahathir berkata, setiap wang peruntukan daripada pihak Kementerian Wilayah tidak disalurkan kepada PN Segambut sebaliknya peruntukan itu diberikan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk kegunaan program kebajikan, kesihatan dan pembaikan infrastruktur jalan, sekolah serta taman.

Menurutnya, tuduhan Hannah itu adalah fitnah dan tidak berasas serta berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti dan nama baik PN.

Pada Khamis, Hannah dalam Facebooknya mempersoalkan peruntukan yang disalurkan kepada PN Segambut yang sehingga kini masih tidak menjelaskan butiran perbelanjaan sejak “Langkah Sheraton’ dilakukan.-SM

 

(Visited 1,042 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button