Sukan

Super KIP kembali beraksi, duduki tempat keempat pramusim Moto3

PELUMBA Malaysia, Khairul Idham Pawi, yang kembali beraksi buat pertama kali sejak Ogos lepas, menduduki tempat keempat dalam ujian pramusim Moto3 Kejohanan Dunia Moto3 2020 di Litar Jerez-Angel Nieto di Sepanyol , semalam.

Penunggang berusia 21 tahun yang kembali beraksi dalam kelas Moto3 Petronas Sprinta Racing Team (SRT) menamatkan 58 pusingan dengan catatan masa terbaik, satu minit 58.333 saat, walaupun terjatuh dan mengalami kecederaan kecil namun mampu terus menunggang.

“Ini adalah aksi pertama saya dalam Moto3 sejak sekian lama selepas berehat panjang akibat mengalami kecederaan. Rasa bersemangat dapat beraksi semula dengan pasukan ini dan kembali memberi saingan .

“Jari saya masih rasa kurang selesa, tetapi saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya ketika saya menunggang. Keadaan jalan sangat licin dan cuaca berangin menjadikannya sukar, semoga keadaan lebih baik esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penunggang kelahiran Perak itu yang dikenali sebagai Super KIP berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan gaya menunggang daripada Moto2 kepada Moto3, yang menggunakan jentera lebih ringan dan kurang kuasa.

“Saya memperbaiki catatan masa saya pada setiap pusingan setiap kali saya tinggalkan pit dan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Moto3 ini berbeza dengan Moto2 dan mengambil sedikit masa untuk saya menyesuaikan gaya menunggang motosikal yang lebih ringan dan kurang kuasa.

“Sangat bagus kerana dapat bekerjasama dengan John (pelumba Scotland, John McPhee), dia membantu saya dan mengekorinya dapat meningkatkan kelajuan saya,” katanya.

Sementara itu, McPhee yang merupakan rakan sepasukannya, mengakhiri musim di tempat ketiga selepas menamatkan 60 pusingan dalam cuaca hujan dengan catatan masa 1: 56.688s, ketinggalan 0.454s daripada penunggang terpantas.

Walaupun hujan lebat sepanjang hari, McPhee telah menggunakan masa yang ada untuk melakukan kerja menyempurnakan tetapan elektronik dengan krunya.

“Kami menggunakan sebahagian besar masa ketika trek basah untuk mencuba dan memperbaiki alat elektronik motosikal dan saya fikir kami mengambil banyak masa untuk itu hari ini,” katanya.

Pelumba Itali, Andrea Migno daripada SKY Racing Team VR46, mencatatkan pusingan terpantas 1: 56.234s dan diikuti oleh Tony Arbolino daripada VNE Snipers di tempat kedua dengan ketinggalan 0.261s. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button