Pendidikan

SUPER bentuk keterampilan pelajar

Tanjung Malim: Karnival Kokurikulum dan Karnival Sukan Pelajar (SUPER) yang berlangsung di Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah baru-baru ini mampu menggilap bakat dan membina keterampilan pelajar sebelum tamat pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, dalam ucapan perasmiannya berkata Karnival Kokurikulum dan Super UPSI 2024 menjadi platform untuk pelajar UPSI memperlihatkan bakat dan membina ketrampilan mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Karnival Kokurikulum 2024 ini, katanya, seperti tahun-tahun terdahulu adalah bermatlamat menghargai dan menyantuni para pelajar dan tenaga pengajar yang komited dalam usaha melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

Beliau berkata, tahun ini karnival lebih meriah dengan penggabungan bersama SUPER UPSI 2024 yang bertujuan mewujudkan jaringan dan hubungan kerjasama yang erat antara UPSI dan komuniti setempat.

Bertemakan “Mahasiswa Holistik Pemacu Kemajuan Negara,”katanya, karnival ini menjadi platform untuk pengayaan diri pelajar dari sudut ilmu dan kemahiran sebagai nilai tambah dalam menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar.

Beliau turut menekankan konsep BITARA (Bakat Unggul, Inovasi dan Penyelidikan, Transformasi Teknologi, Adab, Akhlak, Akademik, Revolusi Ekosistem, dan Adaptasi Global) yang diperkenalkan oleh Naib Cancelor, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff turut mendokong gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana setiap mahasiswa dan akademia harus mampu “Menggapai ke Langit, Mengakar di Bumi”.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata Karnival Kokurikulum menyaksikan penyertaan seramai 6,128 pelajar dari 61 kursus kokurikulum berkredit membabitkan tiga komponen utama iaitu Persatuan Seni dan Kebudayaan, Sukan Permainan dan Rekreasi dan Badan Beruniform.

“Penganjuran ini membuka peluang kepada pelajar mengendalikan program yang dirancang mengikut kursus masing-masing dan dapat menonjolkan bakat yang terpendam,” katanya.

Sempena karnival, pelbagai aktiviti diadakan antaranya permainan, pertandingan, dan pameran atas inisiatif pelajar mencerminkan usaha universiti melahirkan graduan yang memiliki modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Beliau berkata Pusat Kokurikulum UPSI turut mengambil inisiatif menawarkan Kursus Kokurikulum Bitara kepada pelajar yang aktif di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa untuk ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), atlet dan aktivis seni budaya yang diberikan keistimewaan tidak perlu mengikuti kursus kokurikulum berkredit biasa.

Sementara itu Pengarah Pusat Kokurikulum, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yasim berkata peranan pusat itu semakin berkembang dalam merancang kursus secara Micro-Credential bagi bidang rekreasi luar melalui Unit AURORA (Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy) bertujuan mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin kepada kelahiran mahasiswa holistik seterusnya menjadi mahasiswa kelas pertama yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan negara.

“Kami mengalu-alukan pelbagai agensi sama ada kerajaan, badan berkanun atau swasta untuk mengadakan program atau kursus kerja berpasukan dengan menggunakan tenaga pakar UPSI di UPSI Adventure Park, ” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button