Sumbangan wanita kepada pembangunan ekonomi semakin signifikan – Raja Muda Perlis
Peranan wanita dalam pelbagai aspek serta bidang wajar dibanggakan kerana terbukti wanita juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam konteks wanita sebagai usahawan, kita dapat melihat bahawa peranan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara semakin ketara hari demi hari.
Menyentuh kepada aspek keusahawanan sosial, ia bukan lagi satu topik baharu untuk dibincangkan pada zaman ini, namun kesedaran serta impak 3P iaitu kepada masyarakat, alam sekitar, dan keuntungan terhadapnya masih agak belum meluas.
Malah, keusahawanan sosial ini bukan sahaja dapat membantu golongan masyarakat secara keseluruhan, malah lebih khusus kepada wanita lain seperti ibu tunggal misalnya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ”Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Edisi Keusahawanan Sosial” pada pagi tadi.
Webinar ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).
Sesi Pertama menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad berbicara mengenai “Kaitan ‘Sustainable Development Goals (SDG)’ dengan Keusahawanan Sosial”.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, kepakaran wanita-wanita sangat diperlukan untuk mencetuskan lebih banyak idea kreatif dan inovatif bagi membantu menyelesaikan isu seumpama ini melalui pelaksanaan keusahawanan sosial. Dengan kehebatan di luar jangkaan yang mampu dihasilkan, pastinya wanita kini tidak akan lagi dipandang rendah martabatnya.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Kebijaksanaan wanita yang mampu menjalankan perniagaan khususnya dalam keusahawanan sosial ini juga akan terus disokong dan ditonjolkan di peringkat lebih tinggi’.
Majlis Penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah pada sebelah petangnya.
Foto : Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)