Sukan Woodball di Perlis Diperkemaskan SOP baharu sebagai Persediaan Kejohanan Piala Dunia Tahun Hadapan – Raja Muda Perlis
PERSATUAN Woodball Negeri Perlis (PWNPs) sedang memperkemas kini garis panduan permainan sukan woodball di negeri ini termasuk mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi oleh setiap pemain.
Perkara ini selaras dalam mewujudkan norma baharu rentetan daripada penularan wabak Covid-19, di samping sebagai persediaan berterusan untuk menghadapi ‘Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020’ yang telah ditangguh selama setahun ke 24 hingga 30 Julai 2021 yang akan datang.
Sebagai permulaan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa hari ini, pihak PWNPs akan menunggu keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perlis yang difahamkan akan bersidang esok terlebih dahulu sebelum membenarkan orang awam mula beriadah kembali bermain woodball. Jika dibenarkan, maka persiapan sedang dibuat untuk bermula kembali di Dataran Sheikh Ahmad Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dahulu pada petang rabu 6 Mei 2020 yang akan datang ini sebelum venue-venue lain dibuka bergantung kepada kebenaran institusi pemiliknya.
PWNPs juga mengesyorkan agar segala bentuk pertandingan sukan woodball ini mulai dilaksanakan semula secara berperingkat bermula September tahun ini bergantung kepada situasi semasa dan arahan terkini daripada pihak berkuasa pusat dan juga negeri.
Demikian taklimat yang dipersembahkan ke hadapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis oleh Timbalan Presiden PWNPs Zaharin Haris di Istana Arau tengahari tadi.
Tuanku Raja Muda Perlis menyeru agar semangat dan minat masing-masing dalam sukan woodball akan terus menerus dipertingkatkan dalam kalangan pemain tempatan dan rakyat Perlis terutamanya.
Titah baginda lagi, penumpuan permainan sukan woodball ini perlu dijalankan secara berperingkat bagi menarik semula semangat serta minat para pemain setelah berehat sejak sebulan setengah yang lalu.
Zaharin mengulas bahawa antara SOP baharu yang bakal diwujudkan buat permulaannya adalah pengamalan penutup hidung mulut, penjarakan sosial pemain, tidak bersalaman antara pemain, merekod setiap butiran pemain yang hadir, mendapat kebenaran bermain daripada pihak berkuasa, menghadkan pemain sehingga maksima 3 orang sahaja bagi satu ‘flight’ landasan permainan, memeriksa suhu badan sebelum bermain dan juga tidak melibatkan pemain luar yang merentas negeri sehingga kebenaran lanjut dapat diberikan.
PWNPs juga sedang dalam perancangan untuk merangka SOP yang lebih ketat bagi melaksanakan Kejohanan Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra yang melibatkan pertandingan antara agensi kerajaan, Kejohanan Piala Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) anjuran UniMAP dan Woodball Piala Agensi Agama Islam Perlis yang dianjurkan saban tahun akan turut dirancang semula untuk diadakan bermula September ini jika keadaan negara dan wabak Covid-19 benar-benar pulih.
Sebagai rekod, sukan woodball di negeri Perlis merupakan salah satu aktiviti riadah yang sering dilakukan oleh rakyat negeri Perlis dan perkara ini juga bagi memastikan sukan ini kekal aktif sebagai aktiviti riadah pada setiap masa terutama selepas berakhirnya pandemik Covid-19 ini.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda Perlis menitah ucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia’ pada hari ini 4 Mei 2020 kepada seluruh warga bomba khususnya yang bertugas di negeri Perlis yang sentiasa menabur bakti tanpa mengira masa, kaum dan agama rela ‘Menggadai Nyawa Untuk Nyawa’. – SM