Rencana

Stres, Sekiranya Tidak Dikawal Mampu Membinasakan Diri

Stres atau tekanan boleh didefinisikan sebagai satu tindak balas fizikal, emosi dan mental yang menyelubungi diri seseorang dan tidak mengira peringkat umur. Sekiranya tidak dikawal atau dikurangkan, ia mampu menjadi lebih kronik sehingga membahayakan nyawa diri sendiri serta orang lain.

Menurut pelbagai kajian yang telah dilakukan, stress dapat dikurangkan dan dikawal dengan cara yang bijak serta berkesan. Namun begitu, tidak semua pendekatan yang disenaraikan boleh digunapakai untuk setiap individu kerana setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza.

Setiap individu boleh menggunakan pendekatan yang disenaraikan secara berperingkat atau bersilih ganti bagi memastikan ia berkesan dalam mengawal stres yang berlanjutan.

Mengamalkan diet yang seimbang

Kita sentiasa mendengar pepatah “you are what you eat.” Pepatah tersebut membawa maksud bahawa setiap makanan yang diambil oleh kita akan membentuk kesihatan mental dan fizikal kita. Sekiranya makanan yang elok dan sihat yang diambil, maka ia akan memberi impak yang positif kepada diri kita serta secara tidak langsung dapat mengawal stres yang berpanjangan.

Sentiasa berfikiran positif

Daya pemikiran seseorang hendaklah sentiasa positif untuk membina persekitaran dan suasana yang ceria. Bagi peringkat permulaan dalam membentuk pemikiran yang sihat, seseorang individu mungkin boleh mencuba untuk melihat setiap perkara negatif dari sudut yang berbeza supaya ia tidak memberi gambaran yang buruk sahaja bagi sesuatu perkara.

Beriadah

Waktu lapang yang selalunya dibiarkan berlalu dengan terlalu memikirkan beban kerja dan sebagainya boleh diisi dengan beriadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Riadah dapat dibahagikan dalam pelbagai bentuk mengikut minat masing-masing seperti berkelah dan berenang.

Bersenam

Aktiviti bersenam juga mampu mengawal stres dalam diri seseorang individu dan ekoran kepada pandemik yang sedang terjadi sekarang, kita bolehlah bersenam di rumah sahaja. Selain dapat menyihatkan tubuh badan, ia juga dapat mengurangkan ketegangan otot dan stres.

Berkongsi perasaan dengan orang lain

Sekiranya terdapat sebarang masalah yang terlalu berat untuk ditanggung sendiri, boleh diluahkan kepada orang lain ataupun menelefon talian Befrienders supaya ia tidak berlarutan menjadi bertambah parah. Perasaan lega akan segera timbul dan secara tidak langsung dapat mengurangkan stres apabila kita berkongsi perasaan dengan orang lain.

Stres perlulah diambil secara lebih serius oleh seseorang individu dek kerana ia dapat mengganggu prestasi diri seseorang dalam bekerja mahupun melakukan aktiviti seharian.

Tindakan susulan perlu diambil dengan mengenalpasti punca stres tersebut agar ia tidak memakan diri sendiri pada masa hadapan kelak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button