Agama

Solat Aidilfitri di Perlis digalakkan dilaksana di kawasan lapang

ARAU 27 Mac – Solat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan bermula pada jam 7.45 pagi sehingga jam 8.15 pagi bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh Jawatankuasa Kariah Masing-masing.

Setiap Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.

Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataannya berkata, walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.

“Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

“Dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi. Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi,” kata kenyataan itu.

Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8.00 pagi. Sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

Pengurusan Masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum,” titah baginda.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button