Slogan ‘Islam Itu Identiti Bangsa Melayu’ akan dilancarkan pada seminar MAIPs
Slogan ‘Islam Itu Identiti Bangsa Melayu’ akan dilancarkan dan satu seminar besar akan dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi peringkat rantau Melayu ini tidak lama lagi.
Satu hal yang paling mustahak berhubung dengan orang Melayu iaitu, agama Islam itu hendaklah sentiasa menjadi identiti atau pengenalan diri orang Melayu.
Bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dari Islam.
Dalam kehidupan anak Melayu itu, segala usahanya; sama ada bekerja, berseni atau berniaga, tetap Islam dibawa bersama.
Sejauh mana pun dia tersasul, atau dipengaruhi, tidak pernah terbayang di fikiran seorang anak Melayu bahawa dia akan beragama selain dari Islam.
Meskipun bumi Melayu ini pernah dijajah oleh pelbagai bangsa yang bukan Islam seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun bertahun lamanya. Didedahkan dengan agama Bangsa Eropah, dari sekolah missionari sehingga belajar di luar negeri.
Namun, rasanya tidak ada keluarga Melayu yang secara terang-terangan menukar agama mereka. Apapun hal mereka, tetap mereka sebagai Muslim sehingga ke akhirnya. Demikianlah kuatnya jati diri Islam dalam tubuh Bangsa Melayu.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Staf Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Tahun 2021 & 2022 di Hotel Putra Regency, Kangar.
Kebarangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Rektor KUIPs Prof. Dr. Muhd Rozaimi Ramle.
Turut hadir Mufti Perlis merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd., Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Prof. Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin.
Majlis Apresiasi ini bertujuan untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada seluruh warga kerja KUIPs yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bernaung di bawah MAIPs sentiasa berada di landasan yang tepat dan terbaik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor KUIPs berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 kepada Fauziah Mohd Safar, Norasliza Rojamil dan Nor Syahiran Mat Jusoh.
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2022 pula kepada Dr. Muhammad Lukman Mat Sin, Muhd Muthi’ Ul Haqq Fatah Yasin, Nainatul Farzuha Nor, Naurul Idayu Kamardin, Muhammad Syazuwan Ahmad, Ilman Nabil Ismail Bakri, Aizat Suhrawady Zainol Abidin, Nurul Syuhadah Abdul Halim, Ezzatul Afiqah Rosli, Zaddy Affandy Muhamad Rasidi, Safrul Hisham Hashim dan Mohamad Shafizat Shahidi. – SM