PolitikUncategorized

Siti Kassim cuba jadi calon PRU15 walaupun yakin kalah

Walaupun tahu kalah, sekurang-kurangnya sudah cuba

SITI KASSIM muncul kembali. Kali ini, beliau tampil dengan modal mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Awal bismillah, Siti Kassim yakin kalah pada PRU15. Itu satu bayangan yang jujur daripada bakal calon PRU.

Namun cover line paling cantik daripada peguam hak asasi manusia dan aktivis lantang ini, “sekurang-kurangnya saya cuba”.

Cuba menjadi calon atas tiket bebas pada PRU15, Siti Kassim berkata, rakyat berhak mendapat kerajaan yang mereka undi.

Atas sebab musabab itulah, beliau akan bertanding untuk mencetuskan perubahan, katanya memetik laporan FMT hari ini.

Siti Kassim dengan yakin berkata, wujud keperluan untuk perubahan sebenar oleh individu berkebolehan, berintegriti dan yang tidak perlu akur kepada cita-cita parti dan “hulubalang” politik di Parlimen.

“Saya sedar bahawa memberi tanggungjawab itu kepada parti politik tidak membuahkan hasil.

“Jika saya percaya dengan negara ini dan rakyatnya, saya sendiri mesti mengorak langkah,” katanya.

Siti Kassim melancarkan Pusat Khidmat beliau di Sentul hari ini.

Sekali lagi kata Siti Kassim lagi, beliau tidak yakin dengan peluang calon Gerak Independent pada PRU15 namun akan berpuas hati dapat bertanding.

“Apa yang kami pegang adalah prinsip kami dan tonggak yang kami pertahankan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

“Saya buat ini, bertanding kerana sekurang-kurangnya saya telah cuba,” katanya.

Kenyataan Siti Kassim itu berputar-putar dan berbelit-belit kerana kalau sekadar mencuba menjadi calon PRU15, wang pertaruhan akan hangus dan pengundi bukannya mahukan calon cuba-cuba.

Sebaliknya pengundi apabila memberi mandat kepada calon yang bertanding, mahukan konsistensi dan pengisian bernas lagi bermanfaat kepada rakyat.

Siti Kassim juga berkata, mendorong perubahan akan mengambil masa dan ia mungkin tidak menjadi kenyataan melalui kitaran pertama Gerak dalam pilihan raya.

Bagaimanapun tegasnya, penting agar usaha itu dimulakan dan nampaknya PRU15 menjadi medan ujian bagi Gerak.

“Apa pilihan yang kita ada, apabila rakyat seperti di Batu ini bekerja keras untuk menampung kehidupan sedangkan orang berdepan tuduhan di mahkamah hidup senang lenang dengan hasil yang dicuri?,” kata Siti Kassim dengan maksud yang tersirat dan tersurat.

Siti Kassim akan bertanding sebagai calon Gerak di kawasan Batu pada PRU15.

Sehubungan itu, pusat khidmatnya akan berfungsi sebagai pusat sehenti di mana penduduk yang tinggal di kawasan Batu dapat berkongsi kebimbangan mereka dan mendapatkan nasihat percuma.

Pusat khidmat itu akan dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja dari pukul 10 pagi hingga 4 petang mulai 16 Mei ini. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button