Politik

Janji PRN lantik Sulaiman sebagai Ketua Menteri wajar dipatuhi

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 10 Mei – UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berpegang teguh kepada keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri ke-13 iaitu janji yang dilafazkan jika Barisan Nasional
(BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketuanya, Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Timbalan
Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum PRN Melaka dan telah dipersetujui oleh semua ketua-ketua
bahagian sebelum PRN negeri berlangsung.

Menurutnya, sewajarnya semua pihak berpegang teguh kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk melantik
Sulaiman sebagai Ketua Menteri ke-13 selepas BN memenangi lebih daripada dua pertiga iaitu 21 daripada 28
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Berhubung isu memaksa dan mendesak Sulaiman meletakkan jawatan sebagai ketua menteri, perkara itu adalahdi luar pengetahuan dan  saya tidak tahu menahu langsung.

“Situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana selepas rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali
memerintah negeri ini, kita seharusnya memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto BN.

“Lebih penting tumpuan kita ke arah menyiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU-15) tidak lama lagi,” ujarnya sebelum berlepas ke United Kingdom semalam.

Terdahulu terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa
menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Begitupun beberapa akhbar melaporkan, khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat
peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak
bertanggungjawab.

Kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan ADUN Lendu itu terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga
habis penggal.

Sebaliknya Mohd. Ridhwan menegaskan, jika benar keadaan itu berlaku beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan UMNO Pusat untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu beliau berpendapat, sewajarnya Sulaiman terus kekal menerajui pentadbiran negeri ini
sehingga habis penggal.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button