NasionalNegeri

Sistem pendidikan sentiasa ada ruang untuk ditambah baik – Raja Muda Perlis

SISTEM pendidikan di negara kita dan di negeri Perlis khususnya sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk ditambah baik agar dapat kekal relevan untuk para pelajar, selari dengan peredaran masa kini.

‘Mentaliti Rakyat Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ melalui Program Digitalisasi Jamalullail dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) diharap akan dapat direalisasikan menerusi pembinaan empat “Self”, iaitu ‘Self Believe’ (Kepercayaan atas kebolehan diri sendiri), ‘Self Confidence’ (Keyakinan diri yang tinggi), ‘Self Esteem’ (Peningkatan harga diri), dan ‘Self Motivation’ (Motivasi yang tinggi untuk kekal berjaya).

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Appresiasi Akar Tunjang Kemenjadian Murid Tahun 2022’ anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang diadakan di Dewan 2020, Kangar, malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Tuanku Syed Faizuddin dalam titah baginda berharap agar cogan kata ‘My School My Playground’ akan dapat dilaksanakan dengan kemudahan-kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini serta penerapan budaya sekolah penyayang yang lebih berhemah untuk semua golongan murid.

 

Kemahiran Kalis Masa Hadapan (KKMH) yang diterapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis seperti kemahiran Teknologi Maklumat dan Pengurusan Acara akan mampu membuka peluang awal kepada para pelajar untuk berjinak-jinak dengan aktiviti seperti pemasaran produk secara dalam talian dan mempengerusikan majlis-majlis formal di sekolah.

Tambah Raja Muda, ‘Para tenaga pengajar di sekolah dan juga staf-staf di Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil kira dan mengadaptasi sistem pendidikan daripada luar negara seperti Australia dan New Zealand.

Ini kerana sistem pendidikan mereka adalah berlainan berbanding dengan apa yang sedang diterapkan di sini.

Sistem pendidikan mereka lebih mengutamakan konsep ‘hands on’, seperti bersama-sama rakan sekelas untuk menyiapkan projek yang diberikan.

“Ini telah terbukti berkesan untuk menarik minat para pelajar berbanding dengan hanya berada di dalam kelas berjam-jam lamanya,” titah Baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button