POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja ejen jualan platform E-Dagang yang melibatkan nilai kerugian berjumlah 2.39 juta dalam satu serbuan yang dibuat pada 26 Ogos lalu.
Sejak Januari hingga 12 Julai lalu, polis telah menerima sebanyak 164 laporan polis berkaitan kes ini dan sindiket juga dikesan menjalinkan kerjasama dengan sindiket penipuan antarabangsa untuk menipu mangsa dari Singapura.
Serbuan tersebut dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bersama pihak polis dari Singapura di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru.
Difahamkan, rumah tersebut menjadi pusat operasi sindiket dan sebanyak tiga individu tempatan berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun telah ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan siasatan, sindiket penipuan ini beroperasi sekitar bulan Jun tahun ini.
“Sindiket menggunakan media sosial dan menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan menerusi platform E-Dagang.
“Pembelian tersebut didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat berkaitan.
“Pendapatan harian yang dijanjikan adalah antara RM200 hingga RM300,” katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, mangsa yang berminat dihubungi menerusi Whatsapp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.
Jelasnya, bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan tersebut dan menerima tambahan komisen sebanyak 5% hingga 8%.
“Proses pembelian dan pembayaran akan dibuat bermula dengan barangan yang murah namun bila mangsa membeli barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas talian dengan alasan masalah pemindahan wang.
“Mangsa kemudian akan diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononkan sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya.
“Mangsa juga hanya akan sedar ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang,” katanya.
Ujarnya, pihaknya juga percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Singapura.
Malah, tiga lelaki yang ditahan itu juga didapati berperanan utnuk memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke dalam akaun E-Waller yang diberikan oleh pihak atasan sindiket.
“Mereka juga ditugaskan untuk membuat pembelian cryptocurrency dan menerima komisen sebanyak 0.2% dengan nilai anggaran RM2,400 setiap hari.
“Usaha untuk mengesan saki baki sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh kita dan pihak polis Singapura,” katanya.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997. -SM