Nasional

Sijil nikah anak menteri nikah Thailand disahkan oleh pihak polis, sudah nikah sejak September lalu

POLIS mengesahkan bahawa anak seorang menteri kabinet telah berkahwin sejak September lalu dan perkahwinan itu berlangsung di selatan Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa hasil siasatan pihak berkuasa mengesahkan sijil nikah yang disemak adalah sah dari negara jiran. Pengesahan ini mencetuskan pelbagai persoalan dan kekeliruan dalam kalangan netizen.

Menurut beliau, anak menteri berkenaan dan pasangannya menghadapi pelbagai halangan untuk berkahwin, walaupun kedua-duanya saling mencintai.

Perkahwinan mereka dirahsiakan sehingga rakan-rakan terdekat tidak mengetahui mengenainya.

“Mereka tidak mahu isu ini dibesar-besarkan bagi mengelakkan perasaan ahli keluarga mereka terluka,” ujar Razarudin dalam sidang media selepas majlis penghargaan kepada pegawai dan anggota polis pada Selasa.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan, Razarudin memaklumkan bahawa kes ugutan jenayah melibatkan anak menteri tersebut telah selesai.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Kami masih menunggu arahan lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Kes ini menjadi tular di media sosial apabila anak menteri itu didakwa mengugut seorang wanita yang mendakwa telah dihamilkan olehnya.

Ugutan tersebut dilaporkan berlaku pada 24 Disember lalu di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.

Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati anak menteri tersebut telah berkahwin dengan wanita yang didakwa telah hamil sejak September tahun lalu.

Polis kini menunggu pengesahan rasmi terhadap sijil perkahwinan tersebut.

“Siasatan polis adalah telus, dan kami akan memastikan bahawa pesalah dibawa ke muka pengadilan tanpa melindungi mana-mana pihak, walaupun ia melibatkan seorang menteri atau ahli keluarga mereka,” tegasnya.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah. Razarudin menambah bahawa tindakan sewajarnya akan diambil tanpa kompromi.

Pengesahan sijil nikah dari Thailand ini mengundang pelbagai reaksi daripada netizen di media sosial. Ramai yang mempersoalkan bagaimana pengesahan tersebut boleh dibuat oleh pihak polis dan mengaitkannya dengan isu integriti serta ketelusan dalam sistem keadilan negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button