
Program Rintis Future Health for All bolehkan rakyat nikmati manfaat teknologi kesihatan
KUALA LUMPUR 18 Jan. – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
Penganjuran FH4A akan dilaksanakan di 20 lokasi terpilih di enam (6) buah negeri yang bermula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini bertujuan mengaplikasikan teknologi terkini dan ketersambungan 5G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara, memastikan akses yang inklusif dan saksama kepada teknologi kesihatan masa hadapan serta menyokong penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Kerjasama strategik MCMC dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan KPJ Healthcare Berhad ini mengambil pendekatan progresif dengan mempromosikan teknologi kesihatan masa hadapan melalui program rintis, menyedari peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) memberi impak signifikan kepada ekonomi negara.
Antara pengisian program FH4A ini termasuklah sesi perkongsian masa hadapan penjagaan kesihatan, saringan kesihatan, demonstrasi dan ujian percubaan aplikasi mudah alih secara percuma, pameran produk serta sesi kuiz.
Pelaksanaan program ini ke negeri-negeri lain termasuk di kawasan luar bandar diharapkan dapat memberikan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat tanpa mengira lokasi.
Sementara ketika ditemui pemberita beliau berkata, Parlimen Lembah Pantai akan mengumpulkan dana berjumlah RM5 juta pada tahun ini bagi menampung kenaikan kadar caj perkhidmatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk golongan memerlukan, kata beliau yang merupakan Ahli Parlimennya.
Menteri Komunikasi itu berkata dana itu akan disalurkan kepada Tabung PPUMCare yang akan memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40 terkesan akibat kenaikan caj dikenakan pusat perubatan itu bermula 1 Jan lepas.
Beliau berkata langkah itu diambil memandangkan PPUM menjadi antara tumpuan penduduk Parlimen Lembah Pantai untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Walaupun saya sejujurnya tidak bersetuju dengan peningkatan (kadar caj perkhidmatan PPUM) ini, tetapi oleh kerana mereka telah membuat pengumuman itu, maka saya lihat perlu diusahakan bantuan terutama kepada golongan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A).
Beliau berkata dana Tabung PPUMCare itu disalurkan melalui Jabatan Sosial pusat perubatan itu yang akan meneliti pesakit yang layak mendapatkan bantuan.
Fahmi berkata beliau juga telah bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi PPUM bagi membincangkan kenaikan kadar caj berkenaan.
“Sebelum ini mereka ada mengadakan perbincangan dengan saya dua kali pada 2019 dan 2021 dan pada waktu itu saya telah menyatakan pendirian bahawa tidak wajar dikenakan peningkatan.
“Kali ini mereka tidak bertemu dengan saya dan mereka telah mengumumkan dahulu, tetapi saya telah memanggil mereka pada Sabtu minggu lepas dan menyatakan bahawa saya tidak setuju sebagai Ahli Parlimen bahawa mereka telah meningkatkan kos,” katanya, lapor Bernama.
Bagaimanapun Fahmi berkata beliau memahami kenaikan itu terpaksa dibuat kerana peranan PPUM sebagai hospital pengajar yang keadaannya berbeza berbanding hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan.
PPUM mengumumkan kadar caj perkhidmatan baharu bermula 1 Jan lepas berikutan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Berdasarkan laman sesawang PPUM, ia termasuk caj bayaran perubatan dan pembedahan.