Politik

Sidang Parlimen sehari: Kit Siang mahu penjelasan Dr. Noor Hisham

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang mahu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan ada menasihatkan Parlimen agar bermesyuarat selama satu hari sahaja iaitu pada 18 Mei.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu meminta agar Dr. Noor Hisham menjawab dakwaan tersebut dalam sidang medianya hari ini.

“Saya berharap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya hari ini, dapat memberikan sedikit penjelasan tentang dakwaan yang Kementerian Kesihatan ada menasihatkan Parlimen agar bermesyuarat selama satu hari sahaja.

“Dan sama ada benar bahawa pihak Kementerian Kesihatan tidak bersetuju supaya Parlimen memainkan peranannya dalam menyemak imbang tindak-tanduk kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini,” kata Kit Siang dalam blognya hari ini.

Kit Siang setiap hari  sejak lebih seminggu lalu mendesak agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen untuk membahaskan isu berkaitan penularan wabak Covid-19.

Beliau mendakwa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama hanya satu hari adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan serta pakar-pakar yang berkaitan demi kebaikan dan keselamatan semua pihak.

“Benarkah Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya Parlimen tidak bersidang, termasuk persidangan Parlimen dan jawatankuasa pilihan khas secara maya, bagi menyemak dan meneliti langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mengurus dan membendung wabak Covid-19.

“Dan sebaliknya mencadangkan supaya sidang Parlimen diadakan selama satu hari sahaja pada 18 Mei ini sekadar untuk memenuhi keperluan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan yang yang mengatakan Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya setiap enam bulan?” tanya Kit Siang.

Menurut Kit Siang, Kerajaan harus berbincang dengan para pemimpin parti-parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen tentang bagaimana Parlimen dapat melaksanakan peranannya dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Menurut Kit Siang, Malaysia tidak seharusnya menjadi negara pertama di dunia yang melemahkan fungsi dan meminggirkan peranan Parlimen.

Dua hari lalu, Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan mengambil kira keselamatan semua pihak yang terbabit dalam urusan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei depan.

Kerajaan membuat keputusan mengenai persidangan itu berdasarkan perkembangan semasa, khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak COVID-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan jangka pendeknya.

Ia bagi mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini yang antara lain meminta persidangan Dewan Rakyat itu perlu diadakan lebih daripada sehari kerana negara lain telah membuktikan ia boleh dilakukan ketika pandemik COVID-19.

Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan dan cadangan yang disuarakan, namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara.

Keputusan kerajaan juga adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira keperluan, pandangan serta sentimen semua pihak sama ada yang dijana secara rasmi dan langsung, mahupun secara tidak rasmi dan tidak langsung.

Menurutnya, Kerajaan akan terus mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pakar berkaitan khususnya bagi menjamin manfaat dan keselamatan semua pihak.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button