Nasional

COVID-19: Gunakan waktu PKP untuk perkayakan vitae kurikulum masing-masing – Raja Muda Perlis

DALAM suasana yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak Covid-19, dunia hari ini mengalami perubahan yang begitu drastik termasuklah dalam sektor pekerjaan serta sumber manusia yang memerlukan masyarakat untuk berubah selari dengan perubahan global ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima taklimat berkaitan ‘Garis Panduan Amil Zakat Negeri Perlis yang dikemaskini melihat senario semasa PKP dan Penularan Wabak COVID-19’ yang dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor hari ini.

Pandemik Covid-19 secara umumnya telah memberi kesan terhadap perniagaan dan sektor pekerjaan di mana syarikat dan perusahaan berkemungkinan perlu mengecilkan operasi dan mengurangkan pekerja yang seterusnya berupaya mengakibatkan pengangguran.

“Pernyataan ini bukan dibuat bagi tujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat, tetapi ianya merupakan langkah proaktif sesuai dengan slogan ‘Kita Jaga Kita’ ke arah mempersiapkan diri melewati tempoh pasca-PKP dan penularan wabak COVID-19”, titah Baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkongsi pernah melalui pengalaman situasi sebegitu ketika bertugas di Madrid sebagai Pengurus Kawasan Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara bagi syarikat Malaysia Airlines antara tahun 1995 sehingga 1998 di mana kadar pengangguran negara berkenaan amatlah tinggi iaitu melebihi 20 peratus dan pada ketika itu teknologi maklumat juga masih tidak semaju dan mudah diakses sebagaimana hari ini.

Setiap pemohon kerja di sana ketika itu tiada pilihan melainkan memperkasakan vitae kurikulum atau C.V. masing-masing supaya lebih cemerlang daripada calon-calon lain. Oleh itu di dalam tekanan dan kesugulan ekonomi negara dan dunia hari ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra meminta rakyat terus mengambil sikap proaktif. Gunakanlah kesempatan berada di rumah untuk mengemaskini dan memperkayakan lagi vitae kurikulum masing-masing agar terus terkehadapan, memiliki budaya ilmu dan meningkatkan kebolehpasaran diri dalam menghadapi perubahan ekonomi yang dijangka akan lebih mencabar selepas ini.

Justeru, bagi ‘mempercantikkan’ lagi C.V. mereka, rakyat juga dinasihatkan baginda supaya terus mencari ilmu pengetahuan sebagai nilai tambah pada diri masing-masing. Antaranya melalui ‘Pendidikan Sepanjang Hayat’ iaitu dengan cara mempertingkatkan lagi ilmu sedia ada dan meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi seperti Sijil Kemahiran, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD termasuklah kursus-kursus jangka masa pendek yang bersesuaian dengan diri sendiri. Hari ini juga, terdapat banyak peluang bagi mengikuti kursus-kursus secara dalam talian yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian baik di dalam mahupun luar negara secara berbayar ataupun percuma.

Pada masa yang sama, perolehilah sijil-sijil dalam kursus-kursus asas komputer seperti Words, Excel, Powerpoint dan lain-lain serta menyemak kemungkinan untuk mendaftarkan diri dalam kursus-kursus profesional yang disediakan seperti Juruteknik Perakaunan Berlesen atau apa-apa diploma lanjutan lain.

Dunia hari ini memerlukan rakyat yang ‘celik IT’ dan menuntut semua individu tidak kira di bandar mahupun desa untuk menguasai Teknologi Maklumat dan penggunaan asas komputer.

Di samping itu, terokailah kebolehan dan pengetahuan bahasa masing-masing. Baginda turut menyarankan rakyat memanfaatkan peluang untuk belajar asas kemahiran baru secara online dengan menguasai bahasa asing sama ada Bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil, Thai, Jepun, Perancis dan sebagainya lagi.

Selain daripada itu, bagi mereka yang berkebolehan, pertingkatkanlah nilai tambah diri lain yang ada seperti belajar bermain muzik, seni khat, kaligrafi dan sebagainya yang kebanyakannya kini juga boleh dilakukan melalui pembelajaran atas talian.

Pembelajaran secara online umumnya menyediakan pelbagai pilihan yang fleksibel kepada semua untuk dipelajari dan dapat menambah kemahiran dan keperluan seseorang itu.

Tuanku Raja Muda Perlis turut menjelaskan bahawa dalam suasana wabak Covid-19 dan ekonomi yang tidak menentu ini, sesetengah daripada kita berkemungkinan terpaksa melakukan kerja sambilan atau berniaga secara online. Semua ini memerlukan kemahiran dan pengalaman baru bagi membantu mereka memasarkan lagi perniagaan dan menambahkan rezeki keluarga di sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan. Justeru, tiada jalan pintas dan kita perlu sentiasa berusaha mencari serta menambahkan ilmu pengetahuan jika kita ingin terus bersaing dan berjaya di dalam kehidupan. – SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button