Politik

Senator DAP jangka PRU dalam tempoh 3 bulan lagi

BEKAS Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong meramalkan pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada bulan September atau Oktober.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, senario itu tidak dapat dielakkan sekirannya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat menambakan majoriti ahli Parlimen Perikatan Nasional sebelum sidang Parlimen diadakan pada bulan Julai ini.

“Baginya, keadaan kian terdesak dan bagi kerajaannya membentangkan Belanjawan 2021 kepada Parlimen yang tidak berubah adalah kerja sia-sia kerana berkemungkinan ia tidak mendapat sokongan.

“Dengan mengadakan PRU awal, Muhyiddin berharap UMNO dan PAS akan memberi ruang kepada puaknya dalam parti Bersatu dalam pengagihan kerusi,” kata Chin Tong dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Roketkini  hari ini.

Chin Tong sekali lagi menegaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai kesedaran penuh bahawa mereka mesti bergabung tenaga dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Menurutnya gabungan kedua-dua mereka tidak seharusnya sebagai sebuah ‘perkahwinan paksa’ tetapi sebagai sebuah gabungan yang kukuh dan progresif berjuang dalam pertempuran ke atas rejim lama UMNO.

Mereka juga harus menyedari bahawa kerajaan gabungan akan terus menjadi norma dalam politik Malaysia pada masa akan datang.

“Dan supaya kerajaan gabungan kekal kukuh dalam hal ini, supaya mereka yang bersekutu dengan Dr Mahathir dan Anwar boleh hidup bersama untuk satu tempoh yang panjang – adalah penting untuk merangka sebuah format di mana semua pihak boleh rasa selesa meskipun pemimpin mereka tidak menjadi perdana menteri.

“Saya berharap kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar dapat melihat peranan bersejarah mereka ini semacam Nelson Mandela. Bukan Mandela yang dipenjara selama 27 tahun tetapi Presiden Mandela yang menyedari apa tanggungjawabnya yang sebenar – dalam tempoh yang begitu singkat – untuk membina asas yang kukuh dan boleh bertahan untuk satu atau dua generasi,” kata Chin Tong.

Justeru menurut beliau tempoh 100 hari akan datang merupakan satu tempoh yang amat henting kepada Malaysia.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button