Shamsulkahar dilantik Pengarah pilihanraya DUN Jeram Padang
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pelantikan dibuat bagi menggantikan calon DUN Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin, awal pagi tadi.
Menurut beliau, tugas yang disandang Shamsulkahar membolehkan jentera Barisan Nasional (BN) di DUN berkenaan dapat berjalan seperti biasa.
“Saya juga harap jentera Kerajaan Perpaduan di seluruh Negeri Sembilan terus bergerak beserta kempen dipertingkatkan menjelang proses pengundian pada 12 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu, kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu Mohd. Zaidy dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar.
Calon BN bagi kerusi DUN Jeram Padang itu mengalami kecederaan patah kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Jempol.
Pembantunya, Muhammad Khairul Ahnaf Baharom yang menaiki kenderaan sama dilaporkan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.
Jalaluddin turut meluangkan masa melawat Mohd Zaidy di Hospital Jempol, hari ini.
Dalam pada itu Jalaluddin menasihatkan semua calon yang bertanding dalam PRN ini agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya. – SM