Shamsul Anuar dan Shahril Sufian wajah yang menyegarkan UMNO
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah adalah sosok barisan kepimpinan bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika parti itu bangkit daripada kekalahan.
Selaku ketua penerangan beliau tidak putus asa terus mengusahakan gerak kerja walaupun UMNO dikekang dengan masalah kewangan yang serius.
Kewangan terbatas akibat akaun parti berkenaan telah dibeku menyebabkan pelbagai program tidak dapat dijalankan.
Jika dijalankan juga membabitkan kakitangan yang sangat minimum dan peralatan yang ala kadar.
Ibaratnya kerusi dan meja melebihi daripada jumlah kakitangan di pejabat Ketua Penerangan.
Ramai yang tidak dapat bertahan kerana gaji tidak dapat dibayar dengan teratur, terpaksa mengorak langkah mencari rezeki di tempat lain.
Saya pernah melihat seorang terpaksa melakukan lima kerja atau kadangkala lebih lagi.
Tanpa liputan dan jika ada sekalipun tidak adil oleh media arus perdana, Penerangan UMNO perlu bijak menjangkanya dan segera menjawab apa juga berita yang diputar belit.
Semasa perhimpunan agung yang lalu sangat ketara apabila hanya beberapa wartawan senior dari The Star dan Malaysia Gazzete sahaja dihantar membuat liputan.
Yang lainnya hanya menghantar wartawan yang sangat junior dan akhirnya diputar belit cerita oleh editor di pejabat atau tidak disiarkan langsung.
Namun setiap tuduhan perlu ditangkis segera. Medan yang ada hanyalah media sosial dan ketika inilah Penerangan dan bahagian media UMNO memainkan peranan penting.
Dengan idea yang kreatif termasuk menyelitkan diskusi dan kapsul berita yang disiarkan di media sosial ia berjaya menarik minat orang ramai.
UMNO negeri pula tidak terkecuali mengembleng tenaga dengan sumber kewangan yang terhad. Namun hasil kerjanya tidak kelihatan cacat celanya.
Kempen pilihan raya juga bukan lagi kaedah tradisional iaitu pidato politik semata-mata, tetapi lebih kepada program diskusi yang diselang seli dengan jenaka pelawak tempatan.
Kaedah ini berjaya menarik minat ramai hadirin dan mesej yang disampai dapat dihadam dengan baik.
Setelah hampir dua tahun berjuang sebagai pembangkang dan diasak dari segala sudut, kini UMNO kembali ke dalam kerajaan bersama-sama rakan di dalam Muafakat Nasional membentuk Perikatan Nasional.
“Namun kita terus bergerak dan saya menghadapi satu keadaan yang cukup sukar. Bayangkan kita berdepan dengan pilihan raya kecil dan sebagainya lagi dengan kekangan tertentu dan apa pun pengalaman dan juga cabaran menjawat Ketua Penerangan selepas UMNO menjadi pembangkang adalah satu perkara yang tidak akan dilupakan,” kata Shamsul Anuar.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong telah diserapkan ke dalam kabinet kerajaan baharu selaku Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan tempat beliau diambil alih oleh Shahril Sufian Hamdan.
Wajah dan nama tidak asing kerana sering tampil di media sosial, forum terbuka mahu di kaca televisyen bagi mempertahankan UMNO.
Dua sosok ini adalah wajah baharu UMNO yang diharap dapat mengembalikan keremajaan parti dan sekali gus mendapat kepercayaan masyarakat umumnya. – SM