Setiausaha politik ambil ‘habuan’ sekali untuk bekas menteri
SETIAUSAHA politik bekas menteri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus bernilai lebih RM56 juta dikatakan turut meminta habuan yang didakwanya untuk bosnya.
Sumber memberitahu SUARA MERDEKA, sehubungan itu bekas menteri berkenaan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM minggu depan.
Dikatakan tindak tanduk setiausaha politik dalam kegiatan rasuah itu sudah dihidu SPRM sejak 2018 selepas berlaku pertukaran kerajaan, sebelum kertas siasatan (IP) terhadapnya dibuka tahun lalu.
“Rentetan itu penyiasatan dilakukan sehinggalah susulannya sampai ke satu kes melibatkan “projek keselamatan negara”.
“Ia melibatkan rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek itu pada sekitar Ogos 2019.
“Hasil serbuan pihak berkuasa ke atas tiga buah rumah termasuk kediaman isteri muda suspek, pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 ditemukan dan disita.
“Antaranya sejumlah RM20,650, SGD 7,293, AUD 695 dan USD606,” dakwa sumber berkenaan yang percaya terdapat beberapa projek lagi yang `disonglap’ oleh suspek.
Majistret Shah Wira Abdul Halim semalam mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap setiausaha politik terbabit bermula semalam hingga 13 Julai depan, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Jelas sumber itu lagi, penahanan reman melibatkann seseorang yang disyaki bersalah bagi tujuan penyiasatan.
“Penahanan melebihi 24 jam adalah sangat penting bukan sahaja bagi mengelakkan kerencatan proses menegakkan keadilan berlaku, bahkan ia bagi menghindarkan perspektif negatif masyarakat.
“Ia juga bagi tujuan proses penyiasatan diadakan. Reman juga bertujuan mengelakkan suspek menghapuskan bukti. Contoh macam pihak berkuasa hendak buat pembongkaran.
“Kalau suspek bebas, dia boleh ganggu saksi lain serta sembunyikan dokumen yang diperlukan untuk siasatan,” menurut sumber.
Kata sumber itu lagi: “Contoh dakwaan oleh Parti Amanah yang mengatakan SPRM tidak mengemukakan waran geledah terlebih dahulu. Pada bacaan umum akan nampak seakan-akan kelemahan dan kesilapan SPRM.
“Namun faktanya proses geledah turut bersama dengan orang kena tuduh (OKT) yang tidak memerlukan waran.”-SM