Nasional

Seri Perdana terlalu besar, Muhyiddin tinggal di rumah sendiri

RM38.5 juta peruntukan untuk baik pulih

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak menetap di Seri Perdana, Putrajaya semasa berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-8 sebaliknya beliau banyak tinggal di rumahnya sendiri.

Oleh itu, keputusan untuk kerja baik pulih dan penyelenggaraan Kompleks Seri Perdana adalah di bawah  adalah skop kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana itu adalah harta kerajaan.

Kos baik pulih Kompleks Seri Perdana dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM38.5 juta menjadi kecoh sejak kebelakangan ini dan dibawa sebagai isu dalam Dewan Rakyat.

Bagi pencerahan berhubung kemelut membabitkan Sri Perdana berikut disiarkan kenyataan pentuh Muhyiddin:

KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASIN

MANTAN PERDANA MENTERI KE-8

“Saya ingin memberikan penjelasan berhubung kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri.

Ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, saya telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.

Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.

Oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi.

Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

Untuk memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri.

Saya percaya Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri.”

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Mantan Perdana Menteri Ke-8

30 September 2021

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button