Separuh jiwa seorang Ibu angkat pergi bersama kematian adik Amir
SEPARUH jiwa seorang wanita pergi bersama kematian anak angkatnya iaitu Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau lebih dikenali adik Amir, kelihatan kesihatan Norlida Hassan semakin merosot kerana terlalu rindukan anak kecil yang pernah tular berita kematian adik Amir dibunuh oleh ibu dan bapa tirinya di Melaka.
Melalui beberapa hantaran di TikTok, anak kandung Norlida, Tuhfah Naziha Md Tarmidi, berkongsi keadaan ibunya yang semakin membimbangkan. Dalam satu video, Tuhfah menunjukkan bagaimana dia menemui bilik ibunya di hospital dengan mudah hanya berpandukan tangisan kuat wanita itu.
https://www.tiktok.com/@tuhfahnazira/video/7445868521101200647?_r=1&_t=ZS-8s9cdbzOKu2
“Dapat jumpa bilik umi sebab dengar suara umi menangis. Tak tahu kenapa umi menangis waktu ni. Rupanya umi menangis sebab abah tak faham apa umi cakap. Umi tak dapat nak sebut dengan betul apa yang umi nak cakap,” tulis Tuhfah.
Rindukan Amir, Nama Lain Disebut Akibat Demensia
Norlida yang kini disahkan menghidap demensia dilaporkan sering menyebut nama anak angkatnya, Amir, dalam keadaan sedih dan bingung. Namun, penyakit itu membuatkan beliau keliru sehingga menyebut nama lain, Naim, yang menyebabkan suami dan anak-anaknya tersalah faham.
“Saya cuba faham apa yang umi cuba sampaikan. Ingatkan Naim anak sepupu belah abah. Rupanya bukan juga. Bila umi sebut ‘anak umi’, baru saya faham. Rupa-rupanya umi rindukan Amir,” jelas Tuhfah dalam video lain.
Dalam satu rakaman berbeza, suami Norlida, Md Tarmidi Yaccub, dilihat memujuk isterinya yang sedang meraung-raung memanggil nama Amir.
Menziarahi Pusara Amir di Melaka
Anak-anak Norlida kemudian mengambil inisiatif membawa beliau menziarahi pusara Amir di Melaka demi meredakan kerinduannya. Dalam video itu, Norlida dilihat menangis teresak-esak mengenangkan kenangan bersama Amir, yang meninggal dunia pada Januari 2021.
“Umi minta nak ziarah kubur Amir di Melaka. Saya tahu umi rindu sangat kat Amir. Walaupun jauh, kami adik-beradik bawa juga kalau ini boleh buat umi gembira dan tenang,” kata Tuhfah.
Trauma yang dialami Norlida dipercayai berpunca daripada keputusan menyerahkan Amir kembali kepada ibu kandungnya pada Oktober 2020 selepas enam tahun menjaganya.
Keputusan itu menjadi permulaan episod duka buat Norlida apabila Amir kemudian meninggal dunia dalam keadaan tragis beberapa bulan selepas itu.
Norlida kini bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan memerlukan sokongan keluarga bagi menguruskan kehidupannya.