Politik

Senarai bakal MB untuk Perikatan Nasional sedang diperincikan

Wartawan Suara Merdeka

MUAR 6 Mac – Perikatan Nasional (PN) ada sebab mengapa sehingga kini masih belum mengumumkan siapa bakal
menjadi Menteri Besar jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,
12 Mac ini.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata senarai itu melibatkan semua calon sedang
diteliti dan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN nanti.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PN kerana keadaan dan suasana sesebuah negeri itu
berbeza dengan negeri lain.

“Jadi saya percaya dan yakin, pasti pucuk pimpinan tertinggi parti lebih arif bila nak umumkan nama yang
dipilih sebagai MB Johor,” ujarnya.

Beliau menghadiri kempen membantu calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Abdul Aziz
Talib di Warung Bond, Parit Keroma di sini hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian itu berkata, pengumuman senarai calon MB itu akan
dibuat dalam masa terdekat sebelum rakyat Johor keluar mengundi Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan senarai nama yang sedang diperincikan oleh pucuk pimpinan
tertinggi parti itu.

Begitupun sebelum penamaan calon nama Datuk Dr. Sahruddin Jamal disebut-sebut sebagai MB Johor jika PN
berjaya membentuk kerajaan.

Ia berdasarkan pengalaman calon DUN Bukit Kepong itu pernah menjadi MB Johor selama 10 bulan sewaktu di
bawah Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Dr. Sahruddin ketika ditemui baru-baru ini berkata, beliau tidak mengetahui langsung
mengenai perkara tersebut.

“Tumpuan saya adalah untuk mempertahankan DUN Bukit Kepong yang saya menangi pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14),” ujarnya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button