Rencah Hidup

Semangat kental Sanusi bawa anak OKU, ibu warga emas mengundi

PEPATAH Melayu berkata, “yang capek datang bertongkat, yang buta datang berpimpin.” Apabila diterjemahkan pepatah ini boleh sahaja membawa maksud golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak boleh dinafikan hak mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Itulah yang dipaparkan apabila seorang pemuda OKU dibawa oleh bapanya ke pusat mengundi untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Johor yang mengundi hari ini.

Sebagai seorang bapa, walaupun anaknya seorang OKU, anaknya itu tetap layak mengundi sepertimana pengundi-pengundi berdaftar yang lain.

“Anak saya layak mengundi. Jadi tugas saya adalah untuk bawa anak saya menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Johor.” Begitulah kata-kata semangat yang keluar dari mulut seorang apa, Sanusi Idris, yang membawa anaknya, seorang OKU ke pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang hari ini.

Sanusi Idris, 58, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawabnya dengan membawa bersama keluarganya keluar mengundi walaupun anaknya, Mohamad Aidil Sanusi, 25, mengalami kesukaran untuk berjalan.

Sanusi berkata, anaknya itu mengalami masalah fizikal sejak dilahirkan.

Beliau memaklumkan, kebenaran untuk membawa anaknya mengundi telah disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di pusat pengundian berkenaan.

“Mereka KKM membenarkan anak saya mengundi. Jadi saya bawa dia masuk ke dalam sini untuk membantu dia membuat pilihan ketika mengundi,” katanya.

Keluarga Sanusi mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Bandan.

Sanusi berkata, peluang untuk memilih Wakil Rakyat DUN Semarang akan digunakan sebaik mungkin dalam memastikan kebajikan rakyat setempat dijaga.

“Ini kali pertama anak saya mengundi. Saya yang menjaganya walaupun sedikit sukar untuk membawanya ke sini tetapi tetap menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan DUN ini dapat seorang Wakil Rakyat yang terbaik,” ujarnya.

Pada masa sama, Sanusi turut membawa ibunya Musiah Usop, seorang warga emas berusia 85 tahun yang turut mempunyai masalah sukar berjalan kerana sakit tua, untuk mengundi.

Semangat Sanusi yang sanggup ‘bersusah payah’ membawa anaknya yang OKU dan ibunya seorang warga emas ke pusat mengundi, amat terpuji.

Langkah Sanusi patut dan wajar dijadikan contoh kepada Bangsa Johor untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN ini.

Sanusi dan keluarganya merupakan antara 1,567 pengundi berdaftar yang mengundi di pusat mengundi, Sekolah Kebangsaan Seri Bandan bagi memilih Wakil Rakyat DUN Semarang. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button