Nasional

Selepas BKC, lebih banyak bantuan untuk rakyat – PM

Lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mula disalurkan hari ini.

Bantuan dalam pelbagai bentuk itu adalah dalam senarai yang dirancang sebelum ini.

Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya Ismail Sabri berkata, BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang Kementerian Kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya ketika meninjau proses pembayaran BKC secara dalam talian seperti yang dilaporkan Bernama.

Turut serta dalam sidang video tersebut ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berada di BSN Putrajaya dan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.

“Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail Sabri yang turut merujuk makluman Tengku Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas.

Serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button