Hiburan

Naz Carpentry sedia selesaikan kes saman Awal Ashaari guna cara mediasi

SYARIKAT Naz Carpentry bersedia untuk menyelesaikan kes saman terhadap hos televisyen, Awal Ashaari secara baik menerusi proses mediasi.

Pengurus Krisis syarikat tersebut dari firma pengurusan reputasi Saiful Ridzuan Public Relations And Communications, Saiful Redzuan berkata, Naz Carpentry sentiasa terbuka untuk mencapai persetujuan ‘menang-menang’ bagi krisis reputasi ini.

“Apa yang penting ialah keputusan yang disasar oleh kedua-dua pihak mestilah memastikan reputasi jenama Naz Carpentry yang telah dicemari akan berjaya dipulihkan,” katanya.

Awal Ashaari, defendan dalam kes sivil tersebut sebelum ini telah memohon kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes tersebut secara mediasi dan bukannya dibicarakan di mahkamah.

Pada awal Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan pihak defendan dan mencadangkan kes saman fitnah ke atas pengacara tersebut dirujuk ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi untuk penyelesaian.

Naz Carpentry tidak membantah permohonan pihak Awal Ashaari yang dibuat pada 1 Julai.

“Anak guam bersedia untuk perbicaraan namun pada masa yang sama berbesar hati untuk berunding bagi menyelesaikan kes ini,” kata Nurul Hafidzah Hassan dan Wan Azmir Wan Majid, peguam yang mewakili Naz Carpentry.

Pada bulan November tahun lalu, Naz Empire Sdn.Bhd. memfailkan saman menuntut ganti rugi RM3 juta dari Awal Ashaari dan dua defendan lain iaitu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli.

Naz Carpentry mendakwa Awal Ashaari membuat pelbagai kenyataan fitnah bermula dari November 2019 hingga ke November 2020 yang telah diterbitkan oleh defendan menerusi Instagram atas nama @awalashaari yang mempunyai 4.7 juta pengikut dan aplikasi Youtube dengan nama SchAwal yang mempunyai 42, 700 pengikut ketika itu. Postings dan kenyataan tersebut turut disiarkan pelbagai pihak ketiga.

Pada bulan April yang lalu, defendan kedua dan ketiga, Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli yang berniaga atas jenama Something Borrowed by Nawal Enterprise membuat pengakuan yang mereka berdua telah memfitnah Naz Carpentry dan membuat permohonan maaf itu menerusi laman Instagram @houseofsix.my seperti yang dipersetujui untuk penyelesaian kes berkenaan.

Sebelum itu, Naz Carpentry telah menggugurkan saman fitnah siber terhadap seorang guru tadika yang bernama Mahfuzah Muhamad Muharrimi dari Ampang yang menggunakan identiti @mahfuzah.honey di Instagram dan Mahfuzah Remy di Facebook, setelah beliau meminta maaf kepada syarikat hiasan dalaman tersebut melalui Instagram TV.

Naz Carpentry menghantar surat tuntutan meminta Mahfuzah Muhamad Muharrimi memohon maaf dan membayar RM1 juta. Namun, setelah guru tadika tersebut mengeluarkan permohonan maaf rasmi kepada syarikat hiasan dalaman tersebut, mengaku yang beliau telah melakukan kesilapan dan memfitnah Naz Carpentry di laman media sosial Instagram milik Awal Ashaari dan di halaman Facebook beliau, Naz Carpentry tidak meneruskan saman.

Mahfuzah Muhamad Muharrimi telah membuat kenyataan melalui posting dan komen pada bulan November tahun lepas melalui akaun Instagram beliau dan memfitnah dengan mendakwa yang kononnya beliau adalah juga salah seorang mangsa Naz Carpentry.

Guru tadika tersebut telah menghentikan perbuatan fitnah beliau.

Peguam Nurul Hafidzah menyatakan yang proses mediasi di antara Naz Carpentry dan Awal Ashaari akan bermula pada 12 Oktober ini. -SM

(Visited 468 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button