Selain memfailkan tuntutan, kerajaan perlu mengukuhkan agensi maritim kita bagi mempertahankan kedaulatan negara
PADA 14 Jun lalu, Filipina memfailkan tuntutan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan dan mengambil kira sempadan laut mereka dari Sabah.
Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berpendapat bahawa negara kita juga perlu memfailkan tuntutan ECS ke PBB.
“Filipina memang tidak pernah henti mentuntut Sabah sejak Sabah bergabung dalam Malaysia pada tahun 1963.Tuntutan ini tidak pernah dicabut cuma menjadi dorman pada tahun 1977 di bawah Persiden Marcos.
“Menyedari ini, Malaysia juga perlu bersiap siaga memfailkan tuntutan ECS atau apa-apa tuntutan malahan membuat bantahan tuntutan dari negara lain yang boleh dilakukan di kawasan Laut China Selatan yang kita tuntut untuk memperkukuhkan kedaulatan negara kita.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, jika kita senyap, ini bermaksud kita mengakui kedaulatan yang dituntut oleh negara lain ke atas wilayah tersebut. China sering membantah tuntutan negara kita apabila kita failkan tuntutan ke PBB, berkerasnya Beijing untuk menunjukkan hak berdaulat mereka.” kata Mohd Hazmi
Sementara itu, tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa serta menjejaskan kedaulatan negara kita.
“Filipina telah mengakui Sabah sebahagian dari Malaysia kerana tidak membuat sebarang bantahan keras dan membiarkan Malaysia menguruskan Sabah sebagai wilayah negara Malaysia dengan rakyat Sabah diberikan kad pengenalan/passport Malaysia, ditadbir jabatan-jabatan kerajaan Malaysia serta dibangunkan menggunakan dana dari kerajaan pusat.
“Orang Filipina yang masuk sabah pun wajib dapat chop Malaysia. Sekiranya Filipina cuba mengambil Sabah, ini bermaksud Filipina telah melanggar kehendak Piagam PBB yang mana negara-negara perlu wujud bersama secara aman tanpa pertelingkahan.” kata Mohd Hazmi.
Selain Filipina, Vietnam juga memfailkan tuntutan kepada PBB untuk menuntut perairan yang bertindih dengan tuntutan negara kita pada 17 July.
Bukan itu sahaja, pada 20 Ogos, dua penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera manakala seorang lagi jatuh ke laut selepas diserang sekumpulan nelayan asing Vietnam.
Sebuah kapal penguat kuasa negara Vietnam juga menceroboh perairan negara kita untuk mengganggu tugas APMM bagi menahan nelayan Vietnam tersebut.
Untungnya, ketiga-tiga anggota APMM telah dibawa ke hospital dan kesemua mereka dilaporkan selamat dan dalam keadaan stabil. KM Rawa juga mengusir kapal nelayan dan kapal penguat kuasa negara Vietnam keluar dari peraitan negara kita.
Mohd Hazmi berpendapat bahawa selain memfailkan tuntutan kepada PBB, kerajaan juga perlu melabur lebih banyak dana untuk mengukuhkan agensi maritim kita serta menaiktaraf aset yang dipunyai oleh agensi-agensi maritim kita untuk menjaga keselamatan penguat kuasa dan kedaulatan negara kita.