Sekitar 80 peratus pekebun kecil getah tidak tuntut IPG
SEKITAR 80 peratus pekebun dan penoreh getah di seluruh negara belum membuat tuntutan insentif pengeluaran getah (IPG) yang diperuntukkan bagi membantu mereka menghadapi kejatuhan harga komoditi itu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata disebabkan keadaan itu usaha kerajaan untuk memastikan pendapatan golongan itu stabil walaupun berlaku penurunan harga getah, tidak mencapai matlamat.
“Apabila harga getah sekerap jatuh bawah RM2.50 sekilogram, automatik kita aktifkan IPG, contohnya, kalau mereka jual kepada peraih dengan harga RM1.70 baki RM0.80 kita akan bayar terus ke akaun mereka.
“Cuma saya ingin lihat bagaimana kita boleh memudahkan mereka membuat tuntutan, kerana setakat ini tuntutan yang telah dibuat oleh mereka sangat kecil iaitu 10-20 peratus sahaja yang membuat tuntutan dan sebanyak 80 peratus lagi tidak membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat belian getah di Kampung Luar di sini, hari ini.
Antara sebab utama keadaan itu berlaku kerana penoreh getah beranggapan proses membuat tuntutan itu sukar selain memerlukan mereka ke pejabat Lembaga Getah Malaysia yang terletak jauh dari kediaman mereka.
Khairuddin berkata, berdasarkan harga semasa getah jumlah keseluruhan tuntutan yang sepatutnya boleh dibuat oleh pekebun kecil berjumlah RM500 juta, namun hanya sekitar RM100 juta daripada jumlah itu telah dituntut.
Ketika ini dianggarkan 400,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40.
Kebanyakan pekebun kecil itu juga banyak menghasilkan getah sekerap sedangkan permintaan adalah lebih tinggi untuk getah keping.
“Sehinggakan kita terpaksa mengimport getah keping dari Thailand untuk tampung keperluan kita. Sebab itu kita kena lihat bagaimana pekebun kecil dapat menghasilkan getah keping kerana harganya lebih tinggi daripada getah sekerap,” katanya. – BERNAMA