Segak bersongkok anak Melayu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segak bersongkok semasa bertemu Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing lewat petang tadi.
Perdana Menteri pada pertemuan itu menyentuh persoalan mustahak terkait hubungan akrab Malaysia-China, serta beberapa isu melibatkan hubungan dagang, ekonomi selain menyentuh projek-projek pembangunan untuk rakyat yang mesti diteruskan.
“Presiden Xi menyentuh visi saya untuk Malaysia yang baharu melalui konsep Malaysia MADANI yang selari dengan hasrat beliau bagi berkongsi kemakmuran dan pembangunan negara selain menekankan aspek kemanusiaan dan pembangunan tamadun.
”Saya turut menyentuh usaha dan langkah serta strategi yang diambil Presiden Xi dan kerajaan China dalam mendepani serta merungkai permasalahan kemiskinan di China yang kini membuahkan hasil tatkala hampir 800 juta warga telah bebas dari belenggu kemiskinan di China,” dalam hantaran ke Facebook beliau.
Presiden Xi mengajak Malaysia untuk bersama membangunkan tamadun yang kuat dan berketrampilan selain menolak mentaliti Perang Dingin dengan membidak catur mana-mana negara.
“Kami bersama bersetuju untuk mencorak haluan baharu dalam hubungan Malaysia-China serta terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara sahabat. Di akhir pertemuan, saya mengundang Presiden Xi untuk berkunjung ke Malaysia kelak bersempena ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China,” kata Anwar. – SM