Politik

Saya terima teguran dengan hati terbuka – Mohamaddin

CALON parti Warisan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Datuk Mohamaddin Ketapi menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada terhadap segala teguran yang diberikan kepada beliau berhubung kenyataannya berkaitan insiden berdarah di Tanduo.

Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama turut berterima kasih dengan teguran yang disampaikan oleh rakyat.

Dia dalam satu kenyataan terbaharu di Facebooknya, sekali lagi memohon maaf dengan pihak yang terguris dengan ucapan yang disampaikan dalam kempen pilihanraya baru-baru ini.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu menegaskan dia tidak berniat langsung untuk mempolitik mahupun memperlekehkan sumbangan pasukan keselamatan.

Dalam hantaran itu, Mohamaddin meminta rakyat beragama Islam untuk membacakan al-Fatihah buat semua anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden yang berlaku pada tahun 2013 itu.

“Terima kasih kerana menegur saya. Kesemuanya saya terima dengan hati terbuka dan berlapang dada. Sekali lagi saya ingin memohon maaf jika ada pihak yang terguris dengan ucapan saya tempoh hari walaupun saya langsung tidak berniat untuk mempolitikan atau memperlekeh sumbangan pasukan keselamatan kita.

“Disamping itu, bersama kita sedekahkan bacaan Al Fatihah buat semua anggota prajurit negara yang telah terkorban semasa menjalankan tugas khasnya ketika peristiwa berdarah tanduo 7 tahun lalu.
al-Fatihah.
Yang ikhlas, Mohamaddin Haji Ketapi.”

Semalam tular video Mohamaddin mendakwa insiden berdarah berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sebagai sandiwara.

“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang.

“Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam klip video yang tular di media sosial.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mendakwa, insiden di Tanduo adalah sandiwara.

“Tetapi apabila ketika itu kononnya UMNO akan kalah pada PKR terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu. Sandiwara membunuh orang sahaja,” kata Mohamaddin.

Ucapan Mohamaddin mendatangkan kemarahan rakyat terutama kalangan anggota tentera dan polis yang turut mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Seramai kira-kira  7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh Sabah mengundi awal hari ini.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button