
”Saya tak rasa patung Baju Melayu ini untuk disembah”- ini penjelasan dari pengasas Bulan Bintang
PENAMPILAN patung replika gergasi Baju Melayu Bulan Bintang yang dipamerkan di hadapan The Starhill mencuri perhatian orang ramai apabila replika setinggi 12 kaki itu dikatakan seolah-olah menyembah patung berhala. Perkara ini menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, dengan segelintir pihak mempertikaikan kewajaran pemasangannya, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai satu bentuk kreativiti dalam dunia fesyen moden.

Replika tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ulang tahun ke-10 jenama fesyen terkenal, Bulan Bintang, yang berlangsung dari 12 hingga 23 Mac 2025 di Bukit Bintang. Bertemakan ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’, kempen ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk ‘pop-up store’ eksklusif yang mempamerkan koleksi istimewa jenama itu.
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, menjelaskan bahawa kewujudan replika gergasi ini bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi juga sebagai satu usaha untuk mengangkat identiti Baju Melayu ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahu masyarakat, termasuk pelancong asing, mengenali dan menghargai Baju Melayu sebagai pakaian tradisional yang masih relevan dalam dunia fesyen hari ini. Ini bukan sekadar tentang jenama kami, tetapi tentang identiti budaya yang patut dibanggakan,” jelasnya.
Walaupun terdapat perdebatan mengenai replika itu, Azzim menegaskan bahawa maklum balas yang diterima secara keseluruhan adalah positif. Beliau juga percaya bahawa pendekatan seperti ini mampu menjadikan fesyen tradisional lebih dekat dengan generasi muda dan lebih dihargai di peringkat antarabangsa.
Selain pameran replika, kempen ini turut dimeriahkan dengan kehadiran duta jenama seperti Shukri Yahaya, Nadhir Nassar, Mierul Aiman, dan Syafiq Kyle, yang berkongsi pengalaman mereka serta berinteraksi dengan peminat.
Setakat ini, kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ mendapat sambutan hangat, dengan ramai pengunjung mengambil peluang bergambar dan menikmati pengalaman yang ditawarkan. Bulan Bintang terus komited dalam memperkenalkan fesyen tradisional dengan sentuhan moden, seiring dengan arus perubahan gaya hidup masyarakat hari ini.