Politik

“Saya bukanlah sebodoh yang dia sangka, berdebat di gelanggang berat sebelah”-Isham Jalil

Isham Jalil sahut cabaran Ahmad Zahid ajak berdebat

MUAK atau tidak, muntah hijau ataupun tidak, rakyat Malaysia terus menerus disogokkan dengan perbalahan-perbalahan politik atau sesama sendiri dalam sebuah parti.

Kemelut di antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin lama semakin membusut.

Melihat dari luar apa yang berlaku di antara dua figura ini, umpama gajah dengan gajah berlawan, kancil mati tersepit.

Bagaimanapun, masing-masing mempunyai alasan mengapa kemelut ini boleh tercetus dan hampir-hampir meledak umpama gunung merapa Karakatau!

Isham kelmarin membuat catatan dan dikongsi melalui platform media sosial mengatakan bahawa pagi tadi (kelmarin), Presiden UMNO itu mengajak beliau berdebat dalam artikel wawancara Ahmad Zahid bersama Berita Harian.

“Dia cabar saya, dia kata kalau saya “anak jantan, mari kita berdebat”. (Dalam artikel online, perenggan ini telah diedit dan dipadam mungkin diarah tetapi di dalam akhbar yang dicetak hari ini ia masih ada.

“Buktinya seperti gambar di bawah dan saya telah mendapatkan pengesahan wartawan Berita Harian, boleh rujuk wawancara penuh di akhbar cetakan.

KERATAN akhbar yang membuktikan Zahid cabar Isham berdebat yang dikongsi oleh Isham Jalil.

“Dia dan artikel tersebut merujuk saya sebagai “bekas Ketua Penerangan” yang “menang bertanding MT” baru-baru ini dan “tidak sependapat dengan Presiden”.

“Saya memang bekas Ketua Penerangan UMNO yang menang bertanding MT dan tidak sependapat dengan Presiden dan saya memang tidak mahu jawatan Ketua Penerangan tersebut selepas Presiden membuat keputusan untuk pergi pilihanraya bersama DAP.

“Dan saya telah serah semula jawatan Ketua Penerangan UMNO itu sebab jika saya masih memegangnya, saya perlu memperjuangkan DAP dan menutup sebelah mata ke atas perjuangan DAP menegakkan Malaysian Malaysia, ini bertentangan dengan pendirian saya,” kata Ihsam panjang lebar.

Kata Isham lagi, mungkin dia (Ahmad Zahid) terasa hati dan koyak dengan pendiriannya namun dia (Ahmad Zahid) tidak boleh memaksanya dan akar umbi untuk terima DAP.

“Dia (Ahmad Zahid) juga rujuk saya sebagai yang “tidak datang mesyuarat”. Dia suruh saya bentang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk beri pandangan dan katanya bukan “berkokok di luar”.

“Apa yang dia tidak beritahu ialah sebelum ini (sebelum kita pergi PRN dengan PH) saya telah ingin bercakap dalam mesyuarat Majlis Tertinggi tetapi dia tidak beri.

“Dan apabila tiba giliran saya bercakap dia terus tutup mesyuarat tanpa beri saya berhujah. Apa guna saya datang mesyuarat jika hanya untuk ikut kehendaknya untuk endorse DAP dalam mesyuarat?

“Jika saya hadir dia akan kata, saya pun ada sama dalam mesyuarat Majlis Tertinggi semasa keputusan dibuat dan memaksa saya untuk endorse untuk pergi pilihanraya bersama DAP secara kolektif dalam mesyuarat.

“Saya tidak setuju kerana keputusan ini ialah keputusan kritikal yang akan merosakkan UMNO dan perjuangan UMNO untuk orang-orang Melayu.

“Saya protes dan saya tidak mahu endorse DAP dalam mesyuarat Majlis Tertinggi. Oleh itu biarlah dia buat keputusan tersebut tanpa saya dalam mesyuarat,” jelas Isham lagi mengenai senario yang pernah terjadi ke atas dirinya sebelum ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Menurut Isham, Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri menuduh beliau kononnya beliau bersikap “baling batu sembunyi tangan” walhal dakwa Isham, beliau tidak pernah menyuruh orang-orangnya menghentam Presiden UKNO itu sebagaimana orang-orang Presiden disuruh menghentam Isham Jalil.

“Sebagai pemimpin, kita tidak boleh jadi munafik atau kerap berbohong terutama untuk menjatuhkan orang yang tidak menyokong kita.

“Jika Presiden UMNO ingin berdebat dengan saya seperti cadangannya di atas, saya terima. Tetapi di gelanggang yang neutral. Bukan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang mana majoriti adalah orang Presiden yang dipilih atau dilantik oleh Presiden.

“Jika saya berdebat di gelanggangnya dan “salurannya”, itu berat sebelah dan tidaklah bijak. Saya bukanlah sebodoh yang dia sangka. Saya cadangkan kita berdebat di gelanggang terbuka secara live di hadapan akar umbi.

“Jika Dato’ Sri menang, saya akan letak jawatan. Jika saya menang, Dato’ Sri boleh buat referendum parti atau buat pemilihan Presiden atau fikirkan apa yang patut dibuat oleh Dato’ Sri. Itu jika Dato’ Sri berani dan anak jantan,” cabar Isham pula kepada Ahmad Zahid.

Kata Isham lagi, beliau sebenarnya sudah mahu fokus kepada perkara lain dan bukan kepada pertelingkahannya dengan Presiden namun pagi ini (pagi kelmarin) Presiden masih berbicara dan menyerang beliau secara terbuka dalam akhbar.

“Oleh itu saya terpaksalah jawab ‘pandangan dan serangan terbuka’nya ke atas saya ini. Jika tidak, takkan saya sahaja perlu ‘ikut saluran’ untuk menegur walhal orang Presiden dan Presiden sendiri boleh mengecam dan mengutuk sesama ahli secara terbuka di media sedangkan saya tidak pernah mengutuknya secara peribadi tetapi hanya membincangkan soal dasar dan halatuju parti.

“Islam tidak suruh begini. Islam menyuruh kita mempertahankan diri apabila difitnah dan dikecam dengan pembohongan. Orang-orang Presiden banyak berbohong untuk memburuk-burukkan saya. “Sekejap lagi saya pasti mereka akan diarah mengecam saya lagi. Tidak mengapa, teruskan tugas anda, sekali sekala saya akan jawab jika ada masa.

“Saya juga ingin ucap tahniah kepada UMNO kerana menang di PRK Pelangai. Semasa PRK, beberapa pemimpin akar umbi menjemput saya untuk berkempen di Pelangai namun saya tidak turun berkempen.

“Sebabnya ialah saya sudah tahu kita berkemungkinan besar akan menang di Pelangai kerana Pelangai adalah kubu kuat UMNO dan jumlah pengundi adalah kecil (16,000) dan ini memudahkan jentera parti menyantuni pengundi berbanding di kawasan-kawasan lain.

“Saya telah memberitahu pemimpin-pemimpin ini berkenaan perkara ini dua minggu lepas semasa penamaan calon lagi.

“Saya ingin beri peluang seluas-luasnya kepada pemimpin-pemimpin lain untuk berkempen di Pelangai tanpa saya dan saya tidak mahu ambil apa-apa kredit atas kemenangan ini.

“Dan jika saya hadir, mungkin orang-orang Presiden atau Presiden sendiri akan berasa canggung dan menganggap saya mengganggu kempen mereka pula dengan pendirian saya berkenaan DAP,” jelas Isham tentang ‘kehilangannya’ semasa PRK Pelangai, baru-baru ini.

Kata Isham lagi, walaupun menang dan jumlah keluar mengundi adalah lebih kurang sama berbanding pada PRU15 yang lalu, majoriti UMNO telah berkurang.

“Saya anggarkan 2,000 atau 20 peratus pengundi Melayu telah beralih sokongan daripada kita di kawasan ini daripada 70 peratus pada PRU lepas kepada hanya 50 peratus kini.

“Ini adalah satu angka yang signifikan. Sebab itu undi kita jika dicampur undi PH telah berkurang 2,000 berbanding PRU lepas.

“Kita perlu ambil perhatian perkara ini walaupun kita menang sebab jika trend ini berterusan, kita akan menghadapi risiko besar di kawasan-kawasan lain dan kita akan bergantung kepada undi DAP untuk menang. Ini bukanlah baik untuk masa depan UMNO dan perjuangan orang-orang Melayu,” kata Isham. – SM

BACA AHMAD ZAHID HAMIDI PRESIDEN YANG TIDAK BOLEH DIKRITIK OLEH AHLI-AHLI UMNO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button