Sukan
Saya bukan ‘the next Roadtang’ kata Johan @ Jojo Ghazali
JOHAN atau Jojo Ghazali yang baru saja mencatat kemenangan ‘knockout 36 saat’ ke atas Edgar Tabares, Sabtu lalu berkata, dia bukan the next Roadtang sebaliknya kata Jojo, dia mahu jadi the first Jojo.
Katanya, dia kini mendapati dirinya semakin dibandingkan dengan jaguh Muay Thai terkenal dari Thailand, Rodtang Jitmuangon.
Katanya lagi, dia berbesar hati dengan perbandingan tersebut tetapi tidak mahu diingati sebagai ‘Rodtang seterusnya’ (the next Rodtang), sebaliknya mahu menjadi ‘Jojo yang pertama’.
“Pada mulanya memang ‘cool‘, orang panggil saya ‘Rodtang Melayu.’ ‘Cool‘ bila disebut setaraf dengan salah seorang idola saya.
“Tetapi saya tidak mahu diingati sebagai Rodtang seterusnya… saya mahu diingati sebagai ‘Jojo yang pertama’, Johan Ghazali yang pertama.
“Saya bersyukur. Saya berbesar hati… bukan (bermaksud) berada pada tahap yang sama dengannya (Rodtang), tetapi disebut dengannya. Tetapi ya, saya mahu menjadi diri saya sendiri,” katanya seperti dipetik dari laman onefc.com.
Petarung yang baru berusia 17 tahun itu memilih untuk terus meraih kemenangan menentang lawan-lawan lain yang sama mencabar.
“Sudah tentu, dalam masa beberapa tahun, siapa tahu? Saya mempunyai matlamat untuk bertarung dengan sesiapa dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, tetapi saya akan bergerak secara perlahan-lahan dan naik ke ranking. Saya tidak mahu terlalu cepat.
“Sesiapa sahaja boleh berada dalam senarai saya. Sesiapa yang menghiburkan, sesiapa yang kecoh, sudah tentu saya mahu lawan mereka,” katanya.
Begitupun, Johan berkata, dia mahu menghabiskan persekolahannya terlebih dahulu.
“Kalau ikutkan saya, minggu depan pun saya nak lawan. Tetapi saya perlu pulang. Saya perlu mendapatkan lesen memandu saya. Saya kena habiskan sekolah terlebih dahulu.
“Saya akan menamatkan persekolahan pada bulan Februari, jadi mungkin Mac (baru boleh lawan), saya tidak tahu.
“Apabila saya tamat sekolah nanti, saya akan kembali (bertarung) secepat mungkin,” kata Johan sambil menambah bahawa dia terbuka untuk bertarung dengan mana-mana ‘striker‘ flyweight yang terbaik.
Dia turut memetik nama petarung veteran Jepun, Taiki Naito, dan juga Dedduanglek Tded99 dari Thailand, yang masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat dalam ranking flyweight Muay Thai di ONE Championship. – SM